Tolak bantahan Karpal
KUALA LUMPUR 19 Ogos - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak bantahan pihak pembelaan agar rakaman sidang media Karpal Singh pada Februari lalu yang dirakam oleh kakitangan RTM tidak dimasukkan sebagai bahan bukti dalam kes Akta Hasutan yang dihadapi oleh Pengerusi DAP itu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Azman Abdullah memutuskan demikian semasa membenarkan permohonan pihak pendakwa selepas meneliti keterangan saksi-saksi termasuk pembuat rakaman tersebut iaitu jurukamera sambilan RTM, Adial Singh Hari Singh serta hujah pendakwa raya dan pembelaan.
Dalam keputusannya, Azman menyatakan, jurukamera tersebut yang merupakan saksi pendakwaan ketiga telah mengesahkan bahawa pita rakaman itu berfungsi dengan baik dan tidak memberikan sebarang masalah.
''Keterangan saksi pendakwaan kedua, Eliani Mazlan dan Adial mengesahkan bahawa rakaman yang terkandung dalam pita mini DV tersebut adalah rakaman sidang akhbar pada 6 Februari lalu.
''Mahkamah juga berpuas hati bahawa sebagai jurukamera, Adial tidak perlu memahami apa yang diperkatakan dalam sidang akhbar tersebut,'' katanya.
Berikutan penolakan bantahan tersebut, rakaman yang sebelum ini ditandakan sebagai ID6 kini ditandakan sebagai P6 dan P6A bagi casing pita itu.
Mengenai sela dan suara yang tidak jelas dalam rakaman tersebut, beliau menyatakan, ia merupakan faktor lain yang langsung tidak menyentuh kepada kesahihan bahawa pita mini video digital (DV) itu adalah yang digunakan pada hari kejadian.
Azman membuat keputusan tersebut berikutan bantahan peguam Jagdeep Singh Deo berhubung permohonan pihak pendakwaan untuk memasukkan rakaman tersebut sebagai bukti dalam kes terhadap bapanya itu.
Perbicaraan bersambung esok.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment