Thursday, August 20, 2009

Saya bukan sengaja tidak hadir sidang DUN - Abu Hassan

Saya bukan sengaja tidak hadir sidang DUN - Abu Hassan

JERLUN 19 Ogos - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Datuk Abu Hassan Sarif menjelaskan, beliau bukan sengaja tidak menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebanyak dua kali berturut-turut sehingga berdepan kemungkinan digugurkan daripada jawatan itu.

Menurutnya, beliau mengalami masalah kesihatan menyebabkannya gagal hadir persidangan DUN masing-masing pada 19 April dan 9 Ogos lalu.

"Sekiranya saya tahu bila akan jatuh sakit, sudah tentu saya serahkan surat penjelasan awal-awal lagi. Namun masalah kesihatan ini di luar kawalan, ia tidak boleh dielakkan.

"Lagi pun bukan saya tidak tahu peraturan DUN. Jadi kenapa sengaja hendak tidak hadir kalau tahu boleh digugurkan daripada jawatan jika tiada alasan yang munasabah," katanya ketika ditemui pemberita di Wisma UMNO Jerlun di sini hari ini.

Ketua UMNO Bahagian Jerlun yang menyandang kerusi DUN Kota Siputeh selama empat penggal itu berkemungkinan digugurkan daripada jawatan sebagai ADUN berikutan kegagalannya hadir pada persidangan DUN sebanyak dua kali berturut-turut tanpa kebenaran Speaker.

Speaker DUN, Datuk Dr. Abdul Isa Ismail dilaporkan telah menghantar surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan kegagalan Abu Hassan hadir persidangan pada 19 April dan 9 Ogos lalu.

Perlembagaan Negeri memperuntukkan mana-mana anggota DUN yang tidak hadir sidang DUN dua kali berturut-turut hilang keanggotaannya dan hendaklah mengosongkan kerusi yang disandang.

Abu Hassan memberitahu, beliau telah menghantar surat penjelasan dan permohonan maaf bertarikh 10 Ogos kepada Abdul Isa berhubung perkara berkenaan.

Katanya, beliau juga mempunyai surat cuti sakit sebagai bukti mengalami masalah kesihatan pada 9 Ogos lalu.

"Sekarang saya serahkan kes ini kepada Badan Perhubungan UMNO negeri dan Pusat untuk sebarang tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPR Kedah, Zainal Abidin Zakaria memaklumkan bahawa pihaknya telah menghantar surat Speaker DUN Kedah berhubung perkara berkenaan kepada ibu pejabat SPR.

No comments: