Buat pilihan berdasarkan realiti, bukan emosi - TPM
BUKIT MERTAJAM 19 Ogos - Pengundi di Permatang Pasir dinasihatkan supaya tidak membuat keputusan berasaskan emosi sebaliknya menilai realiti kegagalan Pas membawa pembangunan walaupun sudah menguasai kawasan itu sejak lebih 10 tahun.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, realiti keadaan di Permatang Pasir membuktikan masih banyak yang perlu dilakukan bagi membantu penduduknya menikmati kemajuan.
Menurut beliau, rakyat tidak seharusnya mudah terpengaruh dengan dakyah parti pembangkang yang seolah-olah mahu menggambarkan penduduk di kawasan itu tidak memerlukan pembangunan.
''Kalau ada orang kata penduduk (Permatang Pasir) tidak mahukan pembangunan, itu semua bohong kerana kita perlu matang dan melihat kepada realiti sebenar.
''Jangan kita terlalu beremosi, kadang-kadang kita perlu berfikir secara rasional dan bertanya apakah sumbangan mereka (Pas) sejak lebih 10 tahun menjadi wakil rakyat di sini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pertemuan dengan jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) di Kampung Sama Gagah, di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal; Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon; Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid dan calon BN, Rohaizat Othman.
Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau sendiri membuat tinjauan di Permatang Pasir dan mendapati terlalu banyak yang perlu dilakukan bagi membolehkan rakyat di kawasan itu menerima manfaat kemajuan yang ingin dibawa kerajaan Persekutuan.
Pas menurut beliau, sudah diberi peluang begitu lama untuk membuktikan kemampuan membangunkan Permatang Pasir tetapi gagal berbuat demikian.
''Ketika dalam perjalanan ke sini, saya lihat sendiri banyak kekurangan yang perlu diatasi dan banyak yang perlu dibantu. Hakikat itu jelas.
''Sebab itu kami (BN) datang untuk membantu rakyat, bukan berbohong kepada rakyat. Jadi kita harap calon kita (Rohaizat) diberi peluang membuktikan kemampuan," katanya.
Beliau turut mengingatkan pengundi supaya tidak mudah terpengaruh dengan fitnah yang disebarkan pembangkang bertujuan memburuk-burukkan Rohaizat berhubung pembatalan lesen guaman sivilnya oleh Majlis Peguam.
Parti pembangkang kata beliau, sepatutnya mencermin diri sendiri kerana terdapat juga calon DAP yang bertanding dalam pilihan raya umum lalu walaupun berdepan masalah yang sama.
''Seorang calon DAP di Malim Nawar (Perak) juga menghadapi perkara yang sama tetapi ketika itu tiada siapa pun yang bising dan akhirnya dia menang dalam pilihan raya umum.
''Kalau dia (calon DAP) boleh bertanding dan menang, kenapa Rohaizat tidak boleh?," kata beliau.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment