Wednesday, May 27, 2009

Zulkefli disebut tanding DUN Manek Urai

Zulkefli disebut tanding DUN Manek Urai

KOTA BHARU 26 Mei - Empat nama disebut-sebut sebagai bakal calon yang akan membawa cabaran Pas pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Mendahului senarai tersebut ialah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guchil, Zulkifli Yaacob yang juga bekas Ketua Pemuda Pas Kelantan.

Nama lain yang turut disebut-sebut ialah bekas calon Pas bagi kerusi DUN Manek Urai pada 2004, Zamzuri Mat Lazim; Ketua Pemuda Pas Kuala Krai, Mahadi Mohd. Zain dan Yang Dipertua Pas Kawasan Gua Musang, Dr. Zulkefli Mohamad (gambar).

Kesemua mereka berlatar belakangkan agama kecuali Dr. Zulkefli, seorang pengamal perubatan yang memiliki dua buah klinik di Chiku dan Gua Musang.

Keempat-empat bakal calon itu adalah anak tempatan jajahan Kuala Krai, bagaimanapun Dr. Zulkefli aktif dalam Pas di Gua Musang.

Menurut sumber, Zulkefli mempunyai peluang yang lebih cerah untuk dipilih sebagai calon kerana beliau dilihat sebagai pengganti kepada penyandang kerusi DUN Manek Urai, Ismail Yaakob yang meninggal dunia Jumaat lalu.

''Pada pemilihan Pas kawasan baru-baru ini, Zulkifli mencabar Ismail untuk jawatan Timbalan Yang Dipertua, bagaimanapun beliau tewas dengan lima undi.

''Beliau amat aktif dengan Pas kawasan dan amat dikenali serta rapat dengan penduduk tempatan. Bagaimanapun sehingga kini kita mempunyai kira-kira 11 nama untuk diangkat sebagai calon,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada Pilihan Raya Umum 1999, Zulkifli menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Mohd. Razali Che Mamat dengan majoriti 639 undi bagi DUN Guchil, bagaimanapun tewas kepada Dr. Shamsul Ikhwan Ashaari Azmi di kerusi sama dengan majoriti 53 undi pada Pilihan Raya Umum 2004.

Kerusi DUN Manek Urai kosong selepas penyandangnya, Ismail, 60, meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II Jumaat lalu.

Allahyarham merupakan penyandang kerusi berkenaan sejak tahun 1986, bagaimanapun pada 2004 tidak dipilih untuk bertanding.

Sementara itu, Setiausaha Badan Perhubungan Pas Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan memberitahu, masih terlalu awal untuk menentukan calon di kawasan tersebut kerana pihaknya sedang meneliti dan mendapatkan maklum balas dari akar umbi.

''Kita ada ramai calon, lebih daripada empat orang tetapi seperti proses biasa kita perlu mendapatkan maklum balas dari cawangan sebelum nama ini disenarai pendekkan, ini adalah Kajian Awal Pilihan Raya yang kita jalankan setiap kali menjelang pilihan raya.

''Proses pemilihan calon ini akan bermula dari bawah, kemudian kita akan kemukakan tiga nama kepada pusat sebelum keputusan muktamad dibuat dan mendapat pengesahan dari Majlis Syura Ulama,'' katanya.

Katanya, pengumuman senarai calon itu akan dibuat selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh penamaan calon dan pengundian.

Menurut beliau, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan melancarkan jentera pilihan raya di Manek Urai Baru, Jumaat ini.

''Jentera pilihan raya Pas akan dibahagikan kepada dua iaitu jentera induk yang akan diketuai oleh Timbalan Presiden Pas, ia berfungsi memutuskan dasar manakala jentera peringkat negeri akan diketuai oleh Pengarah Pilihan Raya Pas Negeri, Abdul Fatah Haron.

''Kawasan DUN ini mempunyai sembilan peti undi dan sembilan Exco kerajaan negeri akan menjaga satu peti undi setiap seorang,'' katanya.

No comments: