Wednesday, May 27, 2009

14 pemimpin, penyokong Pakatan Rakyat ditahan - Mogok Lapar

14 pemimpin, penyokong Pakatan Rakyat ditahan

Oleh Mohd Feroz Abu Bakar dan Rosdalilah Zahari
bhnews@bharain.com

Perhimpunan perasmian Kempen Mogok Lapar tiada permit

IPOH: Polis menahan 14 pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat termasuk tujuh Adun dan seorang Ahli Parlimen kerana berhimpun tanpa permit selepas perasmian Kempen Mogok Lapar di depan Wisma DAP di sini, semalam.

Mereka ialah Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran; bekas Speaker yang juga Adun Tronoh (DAP), V Sivakumar; Setiausaha Politiknya, A Wasu dan Adun Malim Nawar, Kesvinder Singh (DAP).

Selain itu, Adun Pasir Pinji, Thomas Su; Adun Teja, Chang Lih Kang; Adun Menglembu, Lim Pek Har; Adun Jalong, Leong Mee Meng; dan Adun Simpang Pulai, Chan Ming Kai.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah, berkata mereka ditahan termasuk tiga wanita mengikut Seksyen 27 (5) Akta Polis 1967 kerana berhimpun tanpa permit.

Bagaimanapun, mereka dibebaskan selepas selesai merakam percakapan untuk siasatan lanjut dengan ikat jamin polis petang semalam.

"Dalam kejadian jam 11.15 pagi itu, sekumpulan 30 hingga 40 pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat berhimpun di hadapan Wisma DAP untuk berarak ke Mahkamah Tinggi.

"Oleh kerana perhimpunan dijalankan tanpa permit dan tidak mematuhi arahan bersurai, polis terpaksa menahan mereka mengikut seksyen berkenaan bagi tujuan siasatan lanjut.

"Jika sabit kesalahan mereka boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis Perak, di sini semalam.

Zulkifli berkata, sebelum perhimpunan tanpa permit diadakan, lima pekerja Etak Event Management Sdn Bhd, ditahan pada jam 7.40 pagi.

Tiga daripada mereka dipercayai warga Myanmar manakala dua lagi warga tempatan ditahan ketika meletakkan pelekat 'Daulat Tuanku' dan 'Bubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN)' dalam tiga bahasa atas belon besar berwarna kuning yang dipercayai akan dinaikkan di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, mereka disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan dan jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan yang dilakukan bagi kali pertama.

No comments: