Wednesday, May 27, 2009

Kayveas sudi bincang dengan 'Presiden'

Kayveas sudi bincang dengan 'Presiden'

PUTRAJAYA 26 Mei - Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M. Kayveas sedia berbincang dengan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T. Murugiah berhubung kemelut jawatan Presiden parti itu.

Kayveas bagaimanapun berkata, perjumpaan antara dua 'Presiden' PPP itu sukar direalisasikan kerana Murugiah didapati lebih gemar bercakap kepada media.

''Murugiah boleh berjumpa dengan saya di Ibu Pejabat PPP pada bila-bila masa jika beliau sedia untuk berbincang dengan cara yang bertamadun,'' katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini hari ini.

Menurut Kayveas, pertemuan dengan Muhyiddin antaranya untuk membincangkan kedudukan PPP serta status mesyuarat agung tergempar (EGM) PPP pada Ahad lalu yang melantik Murugiah sebagai Presiden PPP yang baru.

Murugiah dipecat daripada Majlis Tertinggi (MT) PPP pada 11 Mei lalu. Beliau kemudian memanggil EGM parti pada 24 Mei lalu dan hasilnya, semua ahli MT PPP dipecat dengan jawatan Presiden diambil alih oleh Murugiah sendiri.

Kayveas bagaimanapun mendakwa EGM itu tidak sah kerana melanggar perlembagaan PPP serta mendakwa Murugiah menyalahgunakan jawatannya dalam kerajaan.

Dalam pada itu, Kayveas berkata, tindakan Murugiah untuk mengadakan EGM bagaikan memahkotakan diri sebagai Presiden.

''Saya yang membawa budak-budak ini untuk memasuki parti, saya bagaimanapun tidak menyangka mereka akan menjadi tamak kuasa.

''Budak-budak ini bagaikan mahu memahkotakan diri dan mahu tunjukkan diri sebagai seorang ratu cantik,'' katanya.

Kayveas juga mendakwa, Murugiah sengaja mencabar PPP untuk memecatnya supaya dia boleh merampas jawatan Presiden dengan cara yang mudah.

''Dia tahu dia tak boleh menang dalam pemilihan parti, itulah sebab dia mendesak kita pecat dia supaya dia boleh menjadi Presiden melalui cara yang mudah,'' katanya.

Tambah Kayveas, beliau tidak bercadang membawa kemelut PPP untuk diselesaikan di mahkamah.

''Kita tidak boleh bawa isu ini ke mahkamah kerana perlembagaan parti tidak membenarkan kita berbuat demikian,'' katanya.






Kayveas sedia bertemu Murugiah


PUTRAJAYA: Datuk M Kayveas sedia bertemu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah untuk menyelesaikan isu `dua Presiden' dalam Parti Progresif Penduduk (PPP) dan mengelak krisis itu berlarutan sehingga menjejaskan imej Barisan Nasional (BN).

Bercakap kepada pemberita selepas mengadakan perbincangan dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, di sini, semalam, Kayveas bagaimanapun meminta Murugiah bersikap ikhlas untuk mencari jalan penyelesaian terbaik demi kebaikan parti.

"Janganlah lagi terus menerus menjahanamkan imej parti BN. Jika dia jujur mengenai perpaduan parti, dia patut selesaikan masalah dan tidak menjadikan dirinya bahan lawak dan parti sebagai bahan jenaka," katanya.

Kayveas berkata, masalah itu boleh diselesaikan jika kedua-dua pihak berjumpa dan berbincang sambil mendakwa Murugiah enggan berjumpa dan cuma bercakap kepada media serta orang luar parti.

"Bagaimana nak selesai, saya setiap masa ada di pejabat, lima hari seminggu dan sejak tak lagi berada dalam kerajaan, saya jaga ibu pejabat. Bila-bila masa boleh jumpa saya, tak ada halangan, ada nombor telefon dan saya tak mengelak daripada jawab semua panggilan.

"Jika nak, cakap dengan cara yang terhormat daripada buat drama dan isytiharkan dirinya Presiden. Saya harap dia tak jadi Yang di-Pertuan Agong, ini isyarat yang tak betul dan menghina ramai orang," katanya.

Kayveas juga berkata, beliau sedia dicabar mana-mana pihak bagi jawatan disandangnya pada Perhimpunan Agung parti 7 Jun ini bagi mengakhiri segala kemelut berhubung pucuk pimpinan tertinggi PPP.

Sementara itu, Murugiah ketika dihubungi semalam tetap mempertahankan bahawa beliau ialah Presiden PPP yang sah dan tidak akan mengiktiraf mesyuarat PPP peringkat negeri dan Perhimpunan Agungnya yang dijadualkan 7 Jun ini.

Tegasnya, perhimpunan agung luar biasa (EGM) Ahad lalu yang menyaksikan undi tidak percaya diluluskan bagi menyingkir Kayveas sebelum beliau mengambil alih jawatan itu, dibuat dengan sokongan sebulat suara perwakilan.

"Saya sudah serahkan segala dokumen penting kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) berhubung EGM yang diadakan di Putrajaya Ahad lalu dan terpulang kepada budi bicara mereka menentukan kesahihan," katanya.

No comments: