Wednesday, May 27, 2009

Jentera Umno sedia hadapi pilihan raya kecil Manek Urai

Jentera Umno sedia hadapi pilihan raya kecil Manek Urai


KUALA LUMPUR: Jentera Penerangan Umno akan digerakkan dalam masa terdekat untuk melaksanakan gerak gempur sebagai persediaan menghadapi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, Kelantan.

Ketua Penerangannya, Ahmad Maslan, berkata sebelum jadual gerak kerja disediakan, beliau dijangka mengadakan perjumpaan dengan seluruh jentera Penerangan Umno Kelantan di Pejabat Umno Kuala Krai, esok.

Katanya, perjumpaan itu antara lain untuk membincang dan menentukan bentuk gerak kerja, kempen dan ceramah yang perlu diadakan supaya dapat memenangi hati rakyat.

"Saya belum dapat tentukan berapa jumlah ceramah akan diadakan dan bagaimana pendekatan terbaik menjalankan kempen dan program ceramah.

"Apa yang penting saya perlu membuat penilaian segera apakah pendekatan terbaik untuk jentera Penerangan Umno melaksanakan gerak kerja di DUN Manek Urai supaya serasi dengan kehendak pengundi setempat.

"DUN Manek Urai kawasan luar bandar dan kebanyakan penduduk bekerja kampung dan penoreh getah, jadi kita perlukan pendekatan kempen yang boleh memenangi hati mereka, bukan cakap kosong," katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau diminta mengulas persediaan jentera Penerangan Umno menghadapi pilihan raya kecil DUN Manek Urai yang kosong berikutan kematian penyandangnya, Ismail Yaacob, Jumaat lalu.

Ahmad mengakui pilihan raya kecil DUN Manek Urai akan menguji tanggungjawabnya sebagai Ketua Penerangan baru dilantik Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak dan kali pertama mengendalikan gerak kerja penerangan dalam pilihan raya kecil.

Beliau percaya akan mendapat kerjasama penuh daripada jentera penerangan Umno negeri bagi memastikan gerak kerja penerangan Umno berjalan lancar.

"Kita akan mengatur gerak kerja terbaik dan akan mendapatkan pandangan semua pemimpin Umno Kelantan khasnya Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed," katanya.

No comments: