Wednesday, May 27, 2009

Satu lagi waran tangkap Raja Petra

Satu lagi waran tangkap

Oleh SUWARNI MOKHTAR
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 26 Mei - Pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamaruddin (gambar) dikenakan waran tangkap sekali lagi selepas gagal hadir perbicaraan kes terhadapnya yang didakwa memfitnah Datin Seri Rosmah Mansor dan dua yang lain.

Waran tangkap kali ini dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Mohamad Sekeri Mamat selepas Timbalan Pendakwa Raya, Anselm Charles Fernandis mengemukakan permohonan tersebut.

Mahkamah turut mengeluarkan notis tunjuk sebab ke atas isteri Raja Petra, Marina Lee Abdullah selaku penjamin kerana tidak hadir pada prosiding tersebut.

Ini kali kedua waran tangkap dibuat ke atas Raja Petra selepas Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 23 April lalu mengeluarkan perintah yang sama selepas dia tidak hadir perbicaraan kes penerbitan artikel berunsur hasutan di laman web tersebut.

Mahkamah hari ini sepatutnya mendengar perbicaraan hari pertama kes Raja Petra yang didakwa memfitnah Rosmah semasa suaminya Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan Timbalan Perdana Menteri (kini Perdana Menteri).

Tuduhan turut membabitkan dakwaan fitnah terhadap pegawai pengiring Rosmah ketika itu, Leftenan Kolonel Abdul Aziz Buyong dan isteri, Leftenan Kolonel Norhayati Hassan berhubung kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Raja Petra, 59, didakwa melakukan perbuatan tersebut dalam satu akuan bersumpah yang diikrarkannya di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini pada 10.25 pagi 18 Jun tahun lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau didenda jika sabit kesalahan.

Raja Petra diwakili oleh peguam bela, Amarjeet Singh.

Fernandis ketika ditemui selepas tamat prosiding memberitahu, pihak pendakwaan akan memanggil kira-kira 18 orang saksi bagi memberi keterangan.

Kes itu akan disebut semula pada 2 Julai ini.






Raja Petra kena waran tangkap kedua


KUALA LUMPUR: Penulis blog Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamaruddin dikenakan waran tangkap bagi kali kedua selepas gagal hadir di Mahkamah Sesyen di sini semalam, untuk perbicaraan kes fitnahnya terhadap isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan dua yang lain berkaitan pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Hakim Mohamad Sekeri Mamat juga mengeluarkan perintah tunjuk sebab ke atas isteri Raja Petra, Marina Lee Abdullah, bertindak sebagai penjamin kerana kegagalan beliau (Marina) hadir ke mahkamah bagi menjelaskan kedudukan suaminya.

Mohamad Sekeri membuat kedua-dua perintah itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Anselm Charles Fernandis serta menetapkan 2 Julai ini untuk sebutan semula kes itu.

Peguam Raja Petra, Armanjit Singh Sidhu memberitahu mahkamah anak guamnya dan penjamin tidak hadir, tanpa mengemukakan sebarang alasan ketidakhadiran mereka.

Armanjit memaklumkan pihaknya sudah mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi di sini, yang menolak perbicaraan kes itu dijalankan di Mahkamah Majistret.

Perbicaraan kes itu sepatutnya dijadualkan berjalan selama tiga hari di Mahkamah Sesyen, bermula semalam.

Pada 23 April lalu, Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Rozina Ayob mengeluarkan waran tangkap terhadap Raja Petra kerana gagal menghadiri perbicaraan kes hasutan dihadapinya.

No comments: