Status PPP: PM tunggu laporan ROS
KUALA LUMPUR 26 Mei - Datuk Seri Najib Tun Razak masih menunggu keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) berhubung status mesyuarat agung luar biasa (EGM) Parti Progresif Penduduk (PPP) dan kedudukan dua presiden parti itu.
Perdana Menteri berkata, parti komponen Barisan Nasional (BN) itu ada menjemput beliau menghadiri Mesyuarat Agung PPP pada 7 Jun ini tetapi akan menunggu keputusan ROS mengenai status parti tersebut.
"Mereka (PPP) ada menjemput saya pada mesyuarat agung itu tetapi saya akan rujuk dulu status PPP dengan ROS," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Perdana Menteri mengulas mengenai masalah dalaman PPP yang kini memiliki dua presiden parti.
Pada Ahad lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Senator Datuk T. Murugiah yang sebelum ini dipecat sebagai ahli Majlis Tertinggi (MT) PPP, dipilih sebagai presiden baru parti itu.
Pemilihan itu dibuat dalam satu mesyuarat agung luar biasa (EGM) dihadiri oleh kira-kira 1,760 perwakilan yang didakwa melibatkan lebih dua pertiga cawangan PPP di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Murugiah dipilih secara sebulat suara sebagai Presiden PPP selepas undi tidak percaya ke atas Datuk M. Kayveas diluluskan sekali gus membawa kepada pelucutan jawatan yang telah disandangnya sejak 1993.
Bagaimanapun, Kayveas menyelar tindakan Murugiah mengadakan EGM tanpa mendapat kelulusan MT parti itu.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment