Kempen tidak dapat sambutan
IPOH 26 Mei - Kempen mogok lapar anjuran pakatan pembangkang di sini hari ini bukan sahaja tidak mendapat sambutan, sebaliknya berjaya disekat daripada merebak hasil tindakan tegas pihak polis.
Pakatan pembangkang dilihat cuba mengheret kempen itu di luar bangunan Wisma DAP apabila mereka berarak ke bangunan Mahkamah Tinggi Ipoh.
Kumpulan terbabit memberi alasan berbuat demikian untuk memfailkan saman terhadap kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) kerana memberhentikan ketua kampung lantikan pembangkang sebelum ini.
Pihak polis yang berkawal sejak awal pagi terpaksa memberi amaran berulang kali supaya mereka menghentikan perarakan itu namun kira-kira 70 orang penyokong pembangkang terbabit tetap berdegil.
Berikutan itu, polis terpaksa mengambil tindakan tegas dengan menangkap pemimpin dan penyokong parti pembangkang berkenaan seorang demi seorang sehingga pukul 11.15 pagi ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, jumlah keseluruhan yang ditahan adalah seramai 19 orang termasuk lapan wakil rakyat pembangkang atas dakwaan menyertai perhimpunan haram dan menghasut.
Kata beliau, lapan wakil rakyat yang ditahan itu adalah Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran (DAP); Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh yang juga bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) V. Sivakumar (DAP) serta ADUN Malim Nawar, Keshvinder Singh (DAP).
Turut ditahan ialah ADUN Menglembu, Lim Pek Har (DAP); ADUN Jalong, Leong Mee Meng (DAP); ADUN Teja, Chang Lih Kang (Parti Keadilan Rakyat); ADUN Pasir Pinji, Thomas Su Keong Siong (DAP) dan ADUN Simpang Pulai, Chan Ming Kai (PKR).
Jelas beliau, pada masa sama, polis turut menahan lapan orang awam termasuk dua warga asing yang turut terbabit dalam kempen tersebut.
"Polis melakukan tangkapan pertama pada pukul 7.45 pagi ke atas lima pekerja termasuk dua warga asing yang sedang memasang belon udara yang ditulis dengan kata-kata hasutan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini hari ini.
Zulkifli berkata, tangkapan seterusnya dilakukan semasa mereka mahu berarak ke bangunan Mahkamah Tinggi kira-kira pukul 11.15 pagi kerana jelas sekali mereka mahu mengganggu ketenteraman awam.
"Sehingga pukul 4.30 petang ini, semua wakil rakyat dan empat penyokong pembangkang telah dibebaskan dengan jaminan polis.
"Lima lagi lelaki yang memasang belon pula dijangka dibebaskan petang ini juga selepas keterangan mereka diambil," katanya.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment