Mahu huru-harakan negeri - MB
Oleh SITI MARIAM MD. ZAIN
pengarng@utusan.com.my
IPOH 26 Mei - Tindakan pakatan pembangkang melancarkan kempen mogok lapar bukan sekadar mahu menarik perhatian rakyat tetapi matlamat yang lebih besar ialah mengkucar-kacirkan suasana dalam negeri.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, tindakan pakatan pembangkang itu juga bertujuan memastikan kerajaan negeri pimpinannya gagal melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan sebaik mungkin.
''Hari ini mereka mungkin bercakap soal mogok lapar, esok mungkin tentang soal lain pula, maknanya ada siri-siri yang akan diwujudkan oleh mereka.
''Mereka tidak akan membiarkan keadaan begitu sahaja, itu cara mereka. Kita tunggu dan lihat apa tindakan selanjutnya daripada mereka," katanya selepas menghadiri majlis meraikan veteran-veteran UMNO sempena sambutan ulang tahun yang ke-63 parti Melayu itu di Bangunan UMNO Perak di sini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas kempen mogok lapar selama tiga hari bermula hari ini anjuran pakatan pembangkang.
Menurut Zambry, apa yang dilakukan oleh pakatan pembangkang amat jelas dan beliau percaya rakyat dapat menilai sendiri setiap tindak-tanduk mereka itu.
''Itulah matlamat mereka untuk mengaburi mata rakyat dengan harapan orang tidak datang ke Perak dan rakyat semakin hilang sabar. Tetapi saya yakin, lagi mereka buat begini, lagi rakyat meluat (dengan mereka).
''Saya harap rakyat dapat menilai sendiri perangai mereka kerana saya tak nampak manusia yang rasional boleh menerima cara mereka ini," katanya.
Tentang saman yang dikemukakan oleh ketua-ketua kampung yang dilantik ketika pentadbiran pakatan pembangkang, Zambry berkata, beliau tidak kisah dengan tindakan itu kerana yakin berada di landasan yang betul.
''Saya tidak ada masalah, biarlah mereka nak saman ke, buat apa ke. Cuma saya kasihan tengok ketua-ketua kampung digunakan oleh pembangkang untuk memenuhi kepentingan politik mereka seperti disebutkan tadi," katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Zambry berkata, golongan veteran UMNO wajar menggembleng tenaga membantu memberi kesedaran kepada golongan muda tentang semangat perjuangan parti yang telah banyak mencorak negara hari ini.
''Anak-anak muda kita makin lupa pada jasa-jasa UMNO, kita kena buat sesuatu. Orang lama seperti veteran UMNO kena bimbing mereka ini," katanya.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment