Wednesday, May 27, 2009

T. Murugiah - Tidak iktiraf Perhimpunan Agung PPP 7 Jun

Tidak iktiraf Perhimpunan Agung PPP 7 Jun

KUALA LUMPUR 26 Mei - 'Presiden baru' Parti Progresif Penduduk (PPP), Senator Datuk T. Murugiah tidak akan mengiktiraf perhimpunan agung parti itu yang dijadualkan berlangsung pada 7 Jun ini.

Sebaliknya, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu menegaskan tarikh baru perhimpunan agung PPP akan diumumkan beliau dalam tempoh dua tahun bermula Ahad lalu.

''Saya tidak iktiraf perhimpunan agung itu, para perwakilan membuat keputusan bahawa saya adalah Presiden PPP, semua orang perlu menghormatinya.

''Saya perlu susun semula cawangan supaya berada dalam keadaan yang teratur sebelum mengadakan perhimpunan agung,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Murugiah yang disingkirkan daripada PPP pertengahan bulan lalu telah dipilih sebagai 'Presiden' menggantikan penyandang jawatan, Datuk M. Kayveas melalui mesyuarat agung luar biasa (EGM) di Putrajaya, Ahad lalu.

Kayveas bagaimanapun menegaskan, EGM itu bertentangan dengan perlembagaan parti kerana dibuat tanpa kebenaran Majlis Tertinggi PPP.

Dalam perkembangan berkaitan, Murugiah turut mengumumkan beliau telah memasuki pejabat baru Presiden PPP yang terletak di kawasan Sentul.

Jelasnya, tiada sebab untuk beliau menggunakan pejabat Presiden di Wisma PPP yang terletak di Kampung Attap kerana bangunan itu bukannya dimiliki oleh parti berkenaan.

''Beri saya masa, saya akan dapatkan sokongan untuk membeli bangunan sendiri, sebagai pemimpin kita perlu membuat sesuatu,'' katanya.

Mengenai dakwaan Kayveas bahawa 90 peratus peserta EGM Ahad lalu bukannya ahli parti, Murugiah berkata, perkara itu perlu dibuktikan terlebih dahulu oleh pihak yang membuat tuduhan.

Ditanya apakah beliau akan bertindak sekiranya Kayveas berterusan membuat kenyataan bagi pihak PPP, beliau berkata: ''Saya sudah arahkan peguam saya keluarkan notis (untuk menghalangnya).''

Dalam satu kenyataan diedarkan selepas sidang akhbarnya, Murugiah berkata, kecaman Kayveas terhadap beliau bukannya perkara baru kerana pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) lain pernah menjadi mangsanya sebelum ini.

Katanya, seseorang yang waras akal fikiran tidak akan memanggil atau menuduh orang lain khususnya seorang Timbalan Menteri sebagai gila secara terbuka.

"Maka rakyat sendiri boleh tentukan bahawa siapa sebenarnya yang tidak waras,'' katanya

No comments: