Wednesday, May 27, 2009

TPM arah selesai segera isu PPP

Isu 'dua Presiden' dalam PPP perlu selesai segera

Oleh Johari Ibrahim dan Saufi Hamzah
bhnews@bharian.com.my


MUHYIDDIN menerima memorandum daripada wakil tujuh NGO berkaitan pendidikan Cina, Dr Yap Sin Tian selepas sesi perjumpaan di pejabatnya di Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau tidak mahu berpihak dalam isu Datuk M Kayveas dan Datuk T Murugiah yang masing-masing mendakwa Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) sebaliknya mahu krisis itu diselesaikan segera supaya tidak menggugat kewibawaan Barisan Nasional (BN).

Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, beliau menyatakan perkara itu ketika Kayveas bertemunya untuk memberi taklimat berhubung isu berkenaan semalam.

"Saya tidak akan berpihak, tetapi sebagai Timbalan Pengerusi BN, penting bagi saya mengetahui status dan kedudukan parti itu dan bagaimana mahu menyelesaikan krisis.

"Saya menjelaskan kepentingan setiap parti komponen menyelesaikan masalah dengan segera kerana kita tidak mahu melihat isu seperti ini berpanjangan dan menggugat kewibawaan BN," katanya selepas sesi perjumpaan dengan wakil tujuh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan pendidikan Cina di pejabatnya di sini semalam.

Beliau berkata, Kayveas faham mengenai kepentingan menyelesaikan isu itu segera dan menyerahkan kepadanya (Kayveas) untuk menguruskan perkara itu.

Muhyiddin berkata, beliau juga akan bertemu Murugiah yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam sehari dua lagi untuk mendengar penjelasan mengenai perkara itu.

Sementara itu, Pendaftar Pertubuhan (ROS), Datuk Md Alias Kalil, berkata ketika ini Kayveas masih kekal Presiden PPP selagi pihaknya belum membuat keputusan mengenai siasatan membabitkan dakwaan kedua-dua pemimpin terbabit.

"Buat masa ini, semua jawatan dalam PPP adalah bersifat status quo dan tiada masalah bagi parti itu untuk mengadakan mesyuarat agung tahunannya (AGM) pada 7 Jun ini. Parti ini masih dalam keadaan baik tapi tiada istilah dua presiden di bawah peraturan ROS.

"Oleh itu, di pihak kami, penyandang (Kayveas) masih kekal Presiden. Keputusan yang bakal dibuat pula tidak semestinya diumumkan sebelum 7 Jun ini iaitu tarikh AGM parti itu dijadualkan berlangsung," katanya ketika ditemui di pejabatnya semalam.

Beliau berkata, ketika ini jabatan sedang mengkaji kesahihan dakwaan yang dibuat Kayveas dan Murugiah yang mendakwa masing-masing presiden parti berkenaan.

Murugiah dilaporkan dilantik sebagai Presiden PPP pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) di sini, Ahad lalu.

Md Alias berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan kepemimpinan PPP pada Isnin depan berhubung isu berkenaan.

Antara isu dikaji ROS termasuk kesahihan EGM itu dan pemilihan Murugiah sebagai Presiden. ROS juga akan mengkaji kepatuhan PPP kepada Akta Pertubuhan 1966 seperti menyediakan dan membentang laporan aktiviti tahunan, menyediakan penyata kewangan pada mesyuarat di mesyuarat agung tahunan pertubuhan.






TPM arah selesai segera isu PPP

PUTRAJAYA 26 Mei – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau tidak menyebelahi mana-mana pihak dalam kemelut dalaman Parti Progresif Penduduk (PPP) tetapi mahu ia diselesaikan segera bagi mengelakkan imej Barisan Nasional (BN) terjejas.

Menurut Timbalan Pengerusi BN itu, beliau menjelaskan pendirian tersebut kepada Presiden PPP, Datuk M.Kayveas yang menemuinya hari ini dan tidak menolak untuk bertemu dengan Senator Datuk T. Murugiah bagi meredakan krisis parti itu.

‘‘Kayveas telah menjelaskan apa yang berlaku dalam partinya kerana amat penting bagi saya selaku Timbalan Pengerusi BN mengetahui perkara itu untuk menyelesaikan kemelut yang timbul.

‘‘Bagi BN, kita tidak mahu isu ini terus berpanjangan yang akan membuka ruang (tohmahan) daripada parti pembangkang sekali gus menjejaskan integriti BN,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil tujuh pertubuhan Cina di pejabatnya di sini hari ini.

No comments: