Wednesday, May 27, 2009

Larang kempen di Harakah

Larang kempen di Harakah

Oleh Mohd Anwar Phato Rohman
wananwar@bharian.com.my

KUALA LUMPUR: Calon yang bertanding bagi merebut pelbagai jawatan di peringkat pusat dan sayap parti menjelang Muktamar Tahunan Pas ke-55 dari 3 hingga 7 Jun ini, tidak dibenarkan berkempen dalam akhbar Harakah, lidah rasmi parti itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti Pas, Datuk Mustapa Ali yang mengumumkan senarai calon dan peraturan itu bagaimanapun, berkata setiap calon dibenarkan berkempen dalam media arus perdana.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat kerana Pas mahu memastikan setiap calon yang bertanding memiliki tahap etika yang tinggi dan bebas daripada sebarang unsur negatif.

Namun katanya, Pas tetap memberi kebebasan kepada calon mempromosi diri mereka melalui pelbagai kempen yang sihat dan dibenarkan oleh parti sama ada dalam media arus perdana atau laman web menjelang muktamar.

“Kita tidak benarkan calon berkempen dalam Harakah kerana ruang terhad memandangkan akhbar itu terbit dua kali seminggu. Ini bukan soal tiada keadilan tetapi calon masih ada ruang dan saluran cukup untuk berkempen.

“Calon tetap boleh berkempen dalam media arus perdana, ikut suka mereka. Kita juga akan siarkan senarai nama calon bertanding dalam laman web rasmi Pas dan laman web Harakahdaily. ” katanya pada sidang media di ibu pejabat Pas, semalam.

Pertandingan merebut jawatan Jawatankuasa Kerja Pas Pusat dijalankan pada 5 Jun di stadium berkenaan manakala pertandingan bagi Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat dijalankan sehari lebih awal.

Mustafa berkata, tindakan calon berkempen bagi merebut jawatan tertentu menjelang muktamar hanya akan menyebabkan mereka tidak dipilih oleh perwakilan kerana dianggap tidak ikhlas dalam perjuangan parti.

“Perwakilan lebih arif untuk memilih calon mana lebih layak. Kita mempunyai etika. Biasanya, itu adalah cara tradisi perwakilan memilih. Calon yang banyak berkempen biasanya akan kalah,” katanya

No comments: