KUALA LUMPUR: Puteri Umno mencadangkan diwujudkan Puteri Barisan Nasional (BN) yang menggabungkan pergerakan Puteri semua 14 parti komponen bagi memperkuatkan jentera parti melalui gerak kerja bersepadu.
Ketuanya, Datuk Noraini Ahmad, berkata dengan terbentuknya Puteri BN, kerjasama bersepadu dengan jumlah keahlian yang lebih besar dan kukuh akan memudahkan kempen pilihan raya, selain memberi manfaat kepada kekuatan parti.
"Setakat ini hanya Umno, Parti Progresif Penduduk (PPP) dan MIC mewujudkan Puteri, manakala Gerakan dan MCA menggunakan gelaran Beliawanis bagi ahli bawah 35 tahun. Ada baiknya jika kita gabungkan semua sebagai Puteri BN kerana banyak manfaat bekerja sebagai satu pasukan.
"Saya akan mengemukakan cadangan ini pada Perhimpunan Agung Umno bulan depan. Malah, cadangan ini juga antara usul yang akan diketengahkan pada perhimpunan nanti. Kita akan bincangkan baik buruk penubuhan Puteri BN nanti," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian Konvensyen Puteri PPP di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.
Noraini berkata, ketika ini gerak kerja dilakukan berasingan, tetapi Puteri Umno yang memiliki lebih 300,000 ahli dan gabungan semua Pergerakan Puteri komponen sebagai Puteri BN akan menambah bilangan ahli mencecah hampir sejuta orang.
No comments:
Post a Comment