*Minta maaf – Kit Siang
PETALING JAYA 20 Okt. – Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang mendesak Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim meletak jawatan kerana didakwanya mengakibatkan keyakinan rakyat terhadap institusi kehakiman terhakis.
Ahli Parlimen Ipoh Timur itu juga mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz meminta maaf atas kenyataannya mengenai pemansuhan Common Law Inggeris pada sidang Parlimen pada 5 September lalu.
Menurutnya, kenyataan Nazri yang antaranya membela Ahmad Fairuz berkenaan isu pemansuhan Common Law didapati telah menyeleweng daripada hakikat sebenar.
Beliau berkata, Nazri pada sidang Parlimen telah menafikan Ahmad Fairuz pernah mengeluarkan kenyataan pemansuhan Common Law.
Namun, ujarnya, berdasarkan satu pita rakaman yang mengandungi dialog Ahmad Fairuz dengan media, beliau dapat membuktikan Ahmad Fairuz telah mengeluarkan kenyataan itu.
Kit Siang dalam sidang media yang sama turut memainkan pita rakaman yang merakamkan suara Ahmad Fairuz semasa diwawancara media pada 21 Ogos yang jelas menunjukkan Ketua Hakim Negara itu sendiri melafazkan ayat-ayat tersebut.
‘‘Ini bermakna, Nazri telah mengeluarkan kenyataan yang tidak tepat dan beliau perlu meminta maaf di Parlimen
‘‘Ini juga bermakna Ahmad Fairuz harus meletak jawatan dengan segera kerana menjejaskan keyakinan rakyat kepada institusi kehakiman disebabkan sikap berdolak-dalih beliau,’’ katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
No comments:
Post a Comment