BATU PAHAT 20 Okt. – MCA Johor menggesa cadangan pembinaan jeti yang beroperasi 24 jam di Pulau Batu Cawan dekat Mersing dipercepatkan bagi menampung jumlah pelancong yang semakin ramai ke Pulau Tioman.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek (gambar) berkata, jeti baru tersebut perlu segera dibina kerana jeti di Kuala Sungai Mersing terlalu uzur dan boleh menjejaskan keselamatan orang ramai.
‘‘Keadaan di jeti itu yang tidak selesa menyebabkan feri dan bot akan membawa lebih muatan kerana gesaan pelancong yang tidak sanggup untuk menunggu terlalu lama di Mersing.
‘‘Malah jeti sedia ada juga hanya mampu beroperasi ketika air pasang,’’ katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat MCA Johor di sini hari ini.
Menurut Soi Lek, projek jeti itu penting bagi mengelak tragedi feri terbakar di Pulau Tioman, Sabtu lalu, berulang.
Beliau berkata, tragedi itu sedikit sebanyak telah menjejaskan keyakinan dan minat pelancong ke Pulau Tioman.
Menurut Soi Lek, projek jeti itu perlu segera diluluskan kerana pembinaannya telah diumumkan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Chan Kong Choy pada Disember 2004 lagi.
No comments:
Post a Comment