Sunday, October 21, 2007

Pelbagai lapisan rakyat kunjungi rumah terbuka Anwar di Cheruk Tok Kun

Mohd Sabri Said
Sun | Oct 21, 07 | 10:55:41 am MYT

BUKIT MERTAJAM, 21 Okt (Hrkh) - Kunjungan bertali arus rakyat berbagai lapisan masyarakat ke rumah terbuka Aidilfitri Dato' Seri Anwar dan Datin Seri Dr. Wan Azizah di kampung halamanya Cheruk Tok Kun, Bukit Mertajam semalam membuktikan sokongan padu terhadap dirinya tetap macam dulu.

Perpatah 'sekali air bah, sekali pasir berubah' mungkin sedikit sebanyak berlaku dalam politik Parti Keadilan Rakyat Malaysia (PKR) apabila kehilangan beberapa tonggak awal namun semangat juang ahli terus membuak bagi menghadapi pilihan raya tidak lama lagi.

Walaupun agak mendung dan diiringi hujan renyai-renyai orang ramai terus berpusu-pusu di barisan panjang terutamanya untuk bersalaman dengan pasangan idola yang boleh dikatakan sebaris dengan penyanyi dan pelakon popular.

Selepas berpeluk cium dan bermesra orang ramai dipelawa ke khemah hidangan yang menyajikan berbagai masakan seperti ketupat, laksa, bihun sup, sate, char kor teow serta bermacam-macam air sebagai penghilang dahaga.

Tidak kira tua, muda dan kanak-kanak ada yang berkesempatan merakam foto untuk koleksi keluarga mana tahu suatu hari nanti anak cucu berbangga keluarganya pernah bersama Dato' Seri Anwar dan Azizah yang dianggap petualang bangsa kerana bersama pakatan pembangkang PAS dan DAP untuk melawan pakatan Barisan Nasional (BN).

ImageSedangkan, Dato' Seri Anwar adalah bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan Timbalan Presiden Umno berganding dengan orang yang bertanggungjawab membawanya masuk ke gelanggang Umno, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Antara kepimpinan parti dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang hadir ialah Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Choong Eng, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir merangkap Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Mohd Hamdan Abdul Rahman, sahabat lama Anwar yang juga bekas calon PAS tahun 1978, Haji Jamil Hasan, Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri, Ustaz Soid Mohd Amin dan Penolong Setiausaha PAS Negeri, Haji Jamil Abdul Rahman.

Turut kelihatan ialah Ahli Jawatankuasa Jemaah Islah Malaysia (JIM) Pusat, Haji Abdul Rashid Hasnon dan Yang DiPertua JIM Pulau Pinang yang baru, Jamaludin Abdullah serta Setiausaha Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayung Malaysia (PSSPGM), Cikgu Majid Mat Isa.

Bukan sahaja para jemputan dihidangkan dengan makanan dan minuman, alunan irama nyanyian Aidilfitri yang diputarkan oleh DJ sungguh mengasyikan kerana amat menyentuh kalbu seolah suasana di pagi raya walhal hari lebaran sudah lapan hari meninggalkan kita.

Persembahan Seni Silat Pusaka Gayung merupakan kemuncak sambutan kali ini, di mana persembahan yang dibarisi anak muda berjaya mengayakan berbagai aksi mencemaskan menarik perhatian pengunjung sehingga ada yang tidak sempat menjamu selera kerana asyik melihat persembahan itu.

Sebelum memulakan majlis pada pukul 2.00 petang satu sidang akhbar telah diatur melibatkan semua wartawan dan jurugambar untuk bertanyakan soalan berkaitan video VK Linggam yang laris di pasaran sekarang ini.

Fenomena itu tidak seharusnya terjadi kerana ia memporak perandakan lagi institusi kehakiman yang sedia tercemar dengan berbagai insiden melucukan.

Diakhir program Dato' Seri Anwar yang juga Ketua Imam Khalifah Besar (PSSGPM) sempat memberi nasihat dan pesanan kepada remaja yang menganggotai seni silat Gabung Pusaka agar meneruskan usaha berkenaan kerana melalui silat, mereka bukan sahaja mendapat kemahiran mempertahankan diri malahan belajar berorganisasi dalam pasukan. - mns

No comments: