Sunday, October 21, 2007

Selepas 47 hari, Mahathir dibenar keluar IJN

Harakahdaily
Sun | Oct 21, 07 | 1:20:13 pm MYT

KUALA LUMPUR, 21 Okt - Tun Dr Mahathir Mohamad dibenarkan keluar daripada Institut Jantung Negara (IJN) pagi ini, 47 hari selepas menjalani pembedahan kali kedua pintasan jantung, 4 Sept lalu.

IJN dalam satu kenyataan berkata keadaan kesihatan bekas perdana menteri itu menunjukkan kemajuan menggalakkan sepanjang proses pemulihan selepas pembedahan, sejak menjalani pembedahan kedua bagi membersihkan luka pada 22 Sept.

Bernama melaporkan, Dr Mahathir, yang kelihatan ceria dan melambaikan tangan kepada orang ramai yang berada di IJN, berjalan sendiri meninggalkan wadnya pada pukul 10.20 pagi, diiringi isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohamed Ali, anak-anak beliau dan beberapa doktor ke kereta yang sedia menunggu.

Menurut IJN, Dr Mahathir dijadual meneruskan eksesais fisioterapinya di rumah dan akan menjalani pemeriksaan berkala di institut itu sepanjang proses pemulihan selepas pembedahan ini.

Anaknya Datin Paduka Marina memberitahu pemberita di lobi IJN bahawa para doktor menasihatkan bapanya supaya berehat di rumah dan meneruskan program pemulihan dan rawatan susulan.

No comments: