Sunday, October 21, 2007

Pita Lingam : Anwar nanti rentetan kisah bagaimana Ketua Hakim diselamatkan

Wan Nordin Wan Yaacob
Sun | Oct 21, 07 | 1:23:43 pm MYT

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Hrkh) - Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim menafikan terdapatnya kerja-kerja penyuntingan terhadap rakaman perbualan dalam pita video perbualan antara seorang peguam yang didakwa sebagai VK Lingam yang mencetus kontroversi dan mendedahkan konspirasi kehakiman negara yang didedahkan oleh beliau baru-baru ini.

Kata Anwar, Tindakan Ketua Pengarah BPR dan Panel Bebas menolak bukti berhubung pita rakaman perbualan antara seorang peguam yang didakwa sebagai VK Lingam sememangnya dinantikan oleh beliau sambil menegaskan bahawa beliau akan terus meniti kisah bagaimana seorang Ketua Hakim negara diselamatkan.

Dakwaan BPR bahawa rakaman video percakapan VK Lingam itu telah disunting, Anwar menafikan dengan menyatakan bahawa itu adalah alasan teknikal sahaja, sebaliknya video berkenaan adalah sebahagian daripada babak awal daripada video yang sebenar tanpa disunting,

Anwar bagaimanapun akan mendedahkan baki video yang asal sebaik tuntutan mengadakan sebuah Suruhanjaya Siasatan DiRaja diterima seberapa segera oleh kerajaan.

Anwar berkata, wujud kesalahan yang amat jelas terhadap VK Lingam dan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz pada bahagian awal lagi tanpa perlu merujuk keseluruhan rakaman itu.

Anwar berkata demikian dalam majlis rumah terbukanya sempena Hari Raya Aidilfitri di Ceruk Tokun yang dihadiri ribuan masyarakat pelbagai lapisan semalam.

Turut hadir majlis berkenaan ahli Parlimen Bukit Mertajam, Chon Eng dan pemimpin Barisan Alternatif setempat.

Syed Husin senada dengan Anwar

Sementara itu, Timbalan Presiden KeADILan Dr Syed Husin Ali yang mengulas isu yang sama semalam berkata video berkenaan tidak pernah disunting sama sekali dan yang dipaparkan selama ini merupakan lapan minit awal daripada keseluruhan klip tersebut.

"Manakala bakinya akan kita paparkan setelah Suruhanjaya DiRaja ditubuhkan bagi menggantikan panel bebas yang sudah hilang wibawa dan tidak dapat menjamin keselamatan dan perlindungan saksi dalam kes ini," katanya dalam satu laporan Harakahdaily semalam.

"Ini penting kerana bahagian akhirnya akan menunjukkan beberapa orang yang hadir sewaktu perbualan itu dirakamkan dan akan mendedahkan saksi-saksi tertentu dalam kes ini," katanya.

Beliau juga membangkit persoalan dan menyelar BPR kerana tidak wajar bertindak menyiasat bagi pihak panel bebas sedangkan siasatan haruslah dilaksanakan oleh panel itu sendiri tanpa melibatkan agensi lain.

"Untuk mengesahkan kesahihan atau ketulenan klip video ini, panel bebas sepatutnya memanggil pakar-pakar dalam bidang multimedia dan teknologi untuk mengkajinya secara teknikal bukan menunggu keputusan BPR," katanya dan turut menambah tindakan ini membuktikan panel bebas tersebut tiada kuasa dan mempunyai kredibiliti.

"Apa guna tubuh panel bebas yang tiada kuasa memanggil saksi terutama yang disebut dalam klip ini seperti V.K Linggam, Vincent Tan, Adnan Mansor dan Tun Fairuz malah saksi-saksi lain tidak mahu tampil ke depan jika jaminan keselamatan dan tiada perlindungan saksi," katanya.

Beliau menggesa kerajaan membubarkan panel bebas ini supaya Suruhanjaya Diraja dapat dibentuk bagi menjalankan siasatan secara menyeluruh.

Anwar boleh kena tindakan jika enggan serah pita

Sementara itu, Ketua Pengarah BPR, Dato' Ahmad Said Hamdan dalam satu laporan ahbar hari ini menyatakan, siasatan pita itu hampir siap dan BPR telah merekodkan keterangan daripada semua pihak yang dikaitkan dengan kes itu.

Apa yang diperlukan oleh BPR sekarang, katanya ialah rakaman asal klip video berkenaan untuk dianalisis secara teknikal bagi mengesahkan ketulenannya.

Sehubungan itu, kata beliau, pihaknya memerlukan keseluruhan rakaman berkenaan daripada Anwar Ibrahim bagi melengkapkan kertas siasatan.

"BPR akan mengambil keterangan daripada beliau (Anwar) Isnin ini dan kita minta kerjasama beliau memberikan keseluruhan rakaman asal klip video berkenaan bagi melengkapkan kertas siasatan yang hampir siap," katanya.

Sebaliknya, ketika menjawab satu soalan, Ahmad Said menegaskan, Anwar boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 22 Akta Pencegah Rasuah jika enggan menyerahkan bukti berkenaan.

Menurut Ahmad Said, keseluruhan rakaman asal klip video itu diperlukan dalam proses pembuktian selain keterangan yang direkodkan daripada beberapa saksi.

Tegas Ahmad Said, proses pembuktian kesahihan klip video berkenaan selain keterangan saksi-saksi yang dikumpul juga merupakan perkara utama yang ditekankan oleh pejabat Peguam Negara.

Masih ada hakim yang tegas

Sementara itu mengulas mengenai keputusan Mahkamah Tinggi yang dikeluarkan oleh Hakim Dato' Mohd Hishamudin Mohd Yunus berhubung kes saman bekas tahanan ISA, Abdul Malek Hussin, Anwar berkata, bahawa masih terdapat lagi hakim yang mempunyai prinsip yang kuat dan mereka ini dinafikan untuk dinaikkan pangkat.

Melihat kepada corak sistem kehakiman negara sekarang ini, biasanya Mahkamah Persekutuan akan menyanggah keputusan yang telah diputuskan oleh Hishamuddin Khamis lalu, katanya.

Mahkamah Tinggi di sini baru-baru ini memerintahkan agar bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Malek Hussin dibayar ganti rugi sebanyak RM2.5 juta atas penderaan serta penahanan secara salah selama 57 hari kira-kira sembilan tahun lalu.

Keputusan tersebut menjadikan sebagai bekas tahanan ISA pertama yang berjaya di dalam samannya terhadap polis dan kerajaan.

Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus memerintahkan kerajaan membayar RM1 juta kepada Malek bagi ganti rugi am kerana penahanan secara salah, gantirugi am bagi kecederaan dan perubatan sebanyak RM500,000 serta RM1 juta bagi gantirugi teladan.

Beliau semasa membaca penghakiman setebal 41 muka surat berkata, plaintif tidak pernah dimaklumkan dengan jelas tentang alasan penahanan sebagaimana yang dikehendaki di bawah Artikel 5(3) Perlembagaan Persekutuan.

Menurut beliau, defendan pertama (Asisten Supritendan (ASP) Borhan Daud) juga gagal mengemukakan bukti tentang aktiviti plaintif yang dijadikan alasan penahanan sebagaimana yang dikehendaki di bawah Seksyen 73(1) ISA 1960.

Dakwaan kosong

"Dakwaan defendan bahawa plaintif terlibat secara langsung di dalam perhimpunan-perhimpunan haram yang diakhiri dengan kacau bilau hanya dakwaan kosong tanpa bukti material.

"Cara soal siasat jelas untuk tujuan politik dan tidak ada kena mengena dengan soal keselamatan negara. Dengan kata lain, penahanan sejak dari awal adalah mala fide (dengan niat jahat),"katanya.

Malek, 51, ditahan di bawah ISA pada malam 25 September 1998 selepas menghadiri satu demonstrasi di Masjid Negara pada tengahari sebelumnya.

Beliau yang kini merupakan Pengerusi Malaysians for Free and Fair Elections (MAFREL) ditahan sebelum dibebaskan pada 21 November 1998.

Tumbuk, minum air kencing dan didera secara seksual

Pada Mac 1999, Abdul Malek memfailkan saman menuntut ganti rugi RM30 juta dengan menamakan ASP Borhan dari Cawangan Khas sebagai defendan pertama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor serta kerajaan Malaysia sebagai defendan kedua dan ketiga.

Di dalam saman itu, beliau mendakwa telah ditumbuk dan disepak termasuk oleh Rahim sehingga tidak sedarkan diri semasa di dalam tahanan selain dipaksa minum air kencing serta didera secara seksual di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL).

Berhubung dakwaan penderaan di dalam tahanan, kata Hishamudin, plaintif langsung tidak gentar semasa di kandang saksi dan memberi keterangan secara konsisten sebagaimana laporan polis dan dokumen lampiran.

Katanya, keterangan itu disokong oleh laporan pemeriksaan perubatan oleh Dr. P. Vasantha bahawa plaintif mengalami kecederaan seperti lebam dan bengkak di beberapa bahagian badan seperti pergelangan tangan, betis, peha dan kaki.

Beliau turut memberi enam lagi alasan termasuk kegagalan polis untuk memasukkan plaintif ke dalam lokap dari pukul 1.30 pagi sebelum dihantar ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada kira-kira pukul 4 pagi.

Begitu juga keterangan tentang kehadiran Rahim di IPKKL antara pukul 12 malam dan 3 pagi untuk bermesyuarat tanpa kehadiran Ketua Polis KL tidak dapat diterimanya.

Di dalam penghakimannya, Hishamudin turut mempersoalkan tindakan pejabat Timbalan Pendakwa Raya yang mengambil masa sembilan bulan untuk menolak laporan polis plaintif tentang penderaan yang dialaminya selain plaintif tidak didakwa kerana membuat aduan palsu.

Menipu semata-mata

"Ketiadaan penjelasan tentang jarak dua setengah jam, percanggahan keterangan defendan pertama dan saksi-saksi lain, kegagalan meletak plaintif di dalam lokap membuktikan kemungkinan plaintif telah didera.

"Saya kesal untuk menegaskan bahawa saya juga membuat membuat kesimpulan, penyiasatan yang dijalankan oleh SAC Hadi Ho berhubung laporan polis oleh plaintif tidak ada apa-apa melainkan mere sham (penipuan semata-mata)"katanya.

Semasa membacakan keputusan berhubung ganti rugi teladan, Hishamudin turut membuat kenyataan tegas berhubung tindakan Rahim dalam mengendalikan kes Malek. <> "Kelakuan yang keji oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor amat memalukan dan mengaibkan. Beliau telah menunjukkan contoh yang buruk kepada ribuan anggota dan pegawai di bawahnya.

"Gantirugi teladan penting untuk menunjukkan kebencian mahkamah yang amat sangat terhadap penyalahgunaan kuasa oleh polis dan penyalahgunaan ISA,"tegas beliau.

Malek diwakili peguam R. Sivarasa dan M. Moganambal manakala semua defendan diwakili Peguam Kanan Persekutuan Iznan Ishak.

No comments: