Sunday, October 21, 2007

PPP bangkit isu setiakawan BN

Oleh Mohd Azis Ngah dan Hanneeyzah Bariah Baharin

KUALA LUMPUR: Pemuda Parti Progresif Penduduk (PPP) semalam menghangatkan keadaan politik dalam gabungan Barisan Nasional (BN) apabila secara terbuka mendakwa BN tidak menjadi sahabat yang baik dan setia kepada parti itu.

Ketua Pemudanya, T Murugiah, berkata PPP membuat pengorbanan besar demi perpaduan dan kepentingan negara dengan membelakangkan kepentingan diri ketika menyertai BN pada 1972, namun kecewa kini dianaktirikan dan semakin dilupai.

Malah, secara lantang, beliau menyifatkan BN tidak jujur kerana enggan menunaikan janji dan memenuhi permintaan parti itu yang membabitkan pembahagian beberapa kerusi pilihan raya yang kini diambil oleh parti komponen lain.


"PPP menyertai BN atas dasar persefahaman. Walaupun dulu PPP menghadapi masalah dalaman, semangat PPP tetap unggul hingga hari ini dan masih menjadi sahabat setia BN. Malangnya, yang tidak setia kepada PPP adalah BN sendiri.

"Janji tidak serupa bikin, janji tidak dikota, janji menjadi janji kosong saja. Kedua-dua mata dan telinga ditutup, seolah-olah suara sesetengah anggota kami tidak kedengaran. Wahai sahabatku di BN, kembalikan kerusi kami, janganlah membisu seribu bahasa, marilah kita menghayati prinsip ketiga dan kelima Rukun Negara iaitu Keluhuran Perlembagaan, Kesopanan dan Kesusilaan," katanya.

Beliau berucap pada Konvensyen Pemuda PPP di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini yang dirasmikan Presiden PPP, Datuk M Kayveas.


Pada 1972, Pengerusi BN, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang juga Perdana Menteri mengadakan rundingan mengajak semua parti pembangkang menyertai Kerajaan Perikatan dengan nama baru Barisan Nasional dan Presiden PPP ketika itu, mendiang S P Seenivasagam bersetuju bergabung dengan BN atas dasar nasionalisme. Kayveas ketika mengulas kenyataan Murugiah berkata, beliau tidak melihat ucapan itu sebagai kesalahan, sebaliknya peringatan dan teguran ikhlas kepada BN untuk melihat semula sumbangan PPP.

Katanya, PPP hanya meminta BN tidak melupakan dan mengabaikan kewujudan parti itu selepas mampu bertapak kukuh dalam arena politik negara seperti hari ini. “Saya faham maksud ucapan itu. Beliau bukanlah mahu mencetuskan huru-hara atau isu, tetapi hanya mengingatkan BN bahawa PPP memerlukan sokongan. Dulu ketika PPP parti yang kuat, kami diminta menyertai BN, tetapi selepas itu apabila lemah sedikit kami ditinggalkan begitu saja.

"Apa yang dikatakan Pemuda itu benar, tidak salah dan saya menyokong tindakannya. BN perlu beri perhatian. Tidak patut lupakan PPP kerana parti ini ada lebih setengah juta ahli yang juga pengundi. BN kena ingat persahabatan itu. Satu undi pun mustahak kerana PPP kini ada lebih 530, 222 ahli," katanya pada sidang media selepas merasmikan konvensyen semalam.

Ditanya reaksi terhadap kenyataan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang enggan memberi sebarang kerusi kepada PPP, Kayveas berkata, hanya Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mempunyai kuasa memberikan kerusi kepada parti komponen BN.

"Beliau tidak ada kuasa menentukan perkara itu. Saya tidak setuju dengan kenyataan beliau (Ali Rustam) tetapi saya tidak menyuarakannya (bantahan) kerana tidak mahu ia menjadi isu apabila dibantah," katanya.

No comments: