Sunday, October 21, 2007

Lepas 47 hari: Dr Mahathir dibenarkan keluar dari IJN

KUALA LUMPUR 21 Okt. - Tun Dr Mahathir Mohamad dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) pagi ini, 47 hari selepas menjalani pembedahan kali kedua pintasan jantung, 4 September lalu.

IJN, dalam satu kenyataan, berkata, keadaan kesihatan bekas Perdana Menteri itu menunjukkan kemajuan yang menggalakkan sepanjang proses pemulihan selepas pembedahan, sejak menjalani pembedahan kedua bagi membersihkan luka pada 22 September.

Dr Mahathir,yang kelihatan ceria dan melambai-lambaikan tangan kepada orang ramai yang berada di IJN, berjalan sendiri meninggalkan wadnya pada pukul 10.20 pagi, diiringi isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamed Ali, anak-anak beliau dan beberapa doktor ke kereta yang sedia menunggu.

Menurut IJN, Dr Mahathir dijadual meneruskan eksesais fisioterapinya di rumah dan akan menjalani pemeriksaan berkala di institut itu sepanjang proses pemulihan selepas pembedahan ini.

Anaknya, Datin Paduka Marina Mahathir memberitahu pemberita di lobi IJN bahawa para doktor menasihatkan bapanya supaya berehat di rumah dan meneruskan program pemulihan dan rawatan susulan.

“Bapa saya gembira dapat pulang ke rumah. Beliau mahu berada dalam persekitaran yang berbeza dan mahu berehat,” katanya sambil memberitahu bahawa keluarganya akan mengadakan majlis doa selamat tidak lama lagi.

Marina berkata, Dr Mahathir mengucapkan terima kasih kepada kakitangan IJN yang merawat dan menjaga beliau selama berada di IJN.

Sementara itu, Tan Sri Dr Yahya Awang, yang mengetuai panel doktor melakukan pembedahan terhadap Dr Mahathir memberitahu pemberita:

“Kami bersetuju untuk membenarkan Tun Dr Mahathir keluar kerana beliau telah pulih sepenuhnya.”

Beliau berkata, dua jururawat IJN akan mengawasi Dr Mahathir di rumah untuk tempoh beberapa hari ini.

Anggota-anggota lain dalam pasukan pembedahan itu ialah Ketua Pakar Bedah Jantung Klinik Mayo, Prof Hartzell Schaff; Datuk Dr Rozali Wathooth; Datuk Dr Azhari Yakub; Datuk Dr Venugopal Balchand; dan Dr Mohamed Ezani Mohd Taib.

Pasukan pakar biusnya yang diketuai Datuk Dr Mohamed Hassan Mohamed Ariff, turut dianggotai Dr Sharifah Suraya Syed Tahir, Datuk Dr Syed Abdul Aziz Syed Zain dan Dr Nor Azlina Abdul Jalil. - Bernama

No comments: