Sunday, October 21, 2007

Siasatan hampir selesai -- BPR panggil Anwar beri keterangan klip video esok

Oleh: RUHAIDINI ABD KADIR dan SAHBULAH DARWI

KUALA LUMPUR 20 Okt. – Kertas siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung kes klip video yang didakwa memaparkan perbualan telefon seorang peguam dengan seorang yang dikatakan hakim kanan mengenai urusan pelantikan hakim tidak akan ditutup.

Ketua Pengarah BPR, Datuk Ahmad Said Hamdan memberitahu Mingguan Malaysia, siasatan itu hampir siap dan BPR telah merekodkan keterangan daripada semua pihak yang dikaitkan dengan kes itu.

Apa yang diperlukan oleh BPR sekarang, katanya ialah rakaman asal klip video berkenaan untuk dianalisis secara teknikal bagi mengesahkan ketulenannya.

Sehubungan itu, kata beliau, pihaknya memerlukan keseluruhan rakaman berkenaan daripada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi melengkapkan kertas siasatan.

‘‘BPR akan mengambil keterangan daripada beliau (Anwar) Isnin ini dan kita minta kerjasama beliau memberikan keseluruhan rakaman asal klip video berkenaan bagi melengkapkan kertas siasatan yang hampir siap,’’ katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sebaliknya, ketika menjawab satu soalan, Ahmad Said menegaskan, Anwar boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 22 Akta Pencegah Rasuah jika enggan menyerahkan bukti berkenaan.

Menurut Ahmad Said, keseluruhan rakaman asal klip video itu diperlukan dalam proses pembuktian selain keterangan yang direkodkan daripada beberapa saksi.

Tegas Ahmad Said, proses pembuktian kesahihan klip video berkenaan selain keterangan saksi-saksi yang dikumpul juga merupakan perkara utama yang ditekankan oleh pejabat Peguam Negara.

‘‘Apabila perkara-perkara ini dipenuhi, barulah kertas siasatan akan diserah ke pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya,’’ katanya.

Sementara itu di Bukit Mertajam, Anwar mengakui klip video berkenaan telah dipotong kepada dua bahagian.

Beliau berkata, klip video yang diserahkan kepada BPR hanya bahagian pertama dan ia merupakan sebahagian daripada keseluruhan rakaman asal yang lebih panjang.

‘‘Memang klip video itu tidak lengkap tetapi bukan disunting atau diedit, dikeluarkan satu bahagian dahulu dan bahagian kedua ada dan saya sudah tonton.

‘‘Bahagian kedua adalah tambahan kepada bahagian pertama,” katanya kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka PKR di rumahnya di Cherok Tok Kun hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahmad Said semalam bahawa klip video yang diterima oleh BPR tidak boleh dijadikan bahan bukti kes kerana ia telah disunting.

Ahmad Said memberitahu, BPR tidak boleh meneruskan siasatan kerana klip video yang ada pada agensi berkenaan tidak tulen dan kesahihannya untuk dijadikan bukti utama kes boleh dipersoalkan kerana telah ‘diganggu.’

Anwar berkata, kedua-dua bahagian itu adalah sama penting walaupun bahagian kedua ada menyebut secara jelas nama hakim kanan dan beberapa individu yang terlibat.

‘‘Saya akan serahkan bahagian kedua itu sehari selepas Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kes itu ditubuhkan oleh kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun, bahagian pertama itu sudah mencukupi untuk BPR memulakan siasatan kerana ia adalah sahih dan kes tersebut adalah satu masalah besar bagi negara.

Anwar turut mendakwa, panel bebas sedia ada tidak mencapai objektif siasatan kerana seperti mahu melindungi kebenaran dan orang tertentu yang berkepentingan.

Apatah lagi, katanya, individu yang terlibat dalam klip video tersebut sehingga hari ini tidak menafikan kebenaran rakaman klip tersebut walaupun ia hanya bahagian pertama.

No comments: