Sunday, October 21, 2007

Pemuda BN diarah tubuh bilik gerakan

Oleh Shukor Kassim

ALOR GAJAH: Semua Pergerakan Pemuda komponen Barisan Nasional (BN) diminta menubuhkan bilik gerakan mulai sekarang bagi menghadapi pilihan raya umum, kata Timbalan Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, penubuhan bilik gerakan itu penting sebagai proses mengumpul maklumat dan menggerakkan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pemuda untuk melaksanakan tugas pada bila-bila masa.

"Walaupun tempoh penggal pilihan raya akan berakhir pada 2009, semua gerak kerja pilihan raya Pemuda BN perlu digerakkan kerana mereka tidak mempunyai banyak masa untuk menggerakkan sebarang aktiviti membabitkan isu pilihan raya.


"Buat masa ini, 40 peratus bilik gerakan Pemuda BN sudah ditubuhkan di seluruh negara.

"Ini bermakna ahli Pemuda BN yang hampir sejuta keahlian dan maklumat mereka berada di bilik gerakan masing-masing," katanya pada sidang media selepas pelancaran bilik gerakan Pemuda Umno Masjid Tanah di sini semalam.

Khairy turut mengingatkan Pemuda BN bekerjasama dengan veteran parti kerana mereka mempunyai banyak pengalaman dalam urusan parti.

"Golongan veteran tidak boleh dilupakan kerana mereka mempunyai pengaruh besar di kalangan masyarakat untuk menyokong dasar kerajaan serta kepemimpinan politik negara. Jangan pinggir golongan veteran ini," katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, beliau meminta DAP tidak menjadikan isu babi di Paya Mengkuang, Man Lok dan Bukit Beruang di Kuala Linggi sebagai isu perkauman.

No comments: