* Nazri tidak gentar
KUALA LUMPUR 20 Okt. – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz tidak gentar dengan pita rakaman yang didakwa mengandungi bukti Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim pernah mencadangkan pemansuhan Common Law Inggeris.
Mohamed Nazri berkata, beliau tidak gentar dengan sebarang pita rakaman yang akan dikemukakan oleh Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang.
‘‘Mengapa saya takut? Kit Siang boleh membawa pita rakaman itu kepada saya dan saya tidak takut,’’ katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Kit Siang dalam satu sidang akhbar hari ini, mahu Nazri meminta maaf di Parlimen kerana mengeluarkan kenyataan yang kurang tepat berhubung kenyataan pemansuhan Common Law oleh Ahmad Fairuz.
Menurut Kit Siang, Nazri ketika di Parlimen telah mengeluarkan kenyataan Ahmad Fairuz tidak pernah keluarkan kenyataan berkenaan pemansuhan Common Law.
Kenyataan itu bagaimanapun, tidak diterima Kit Siang dan beliau sebaliknya meminta Ahmad Fairuz segera meletak jawatan.
Mohamed Nazri ketika ditanya mengenai perkara itu menegaskan, Ahmad Fairuz dalam sepucuk surat kepadanya telah menyatakan dirinya tidak pernah mengeluarkan kenyataan berkenaan pemansuhan Common Law.
‘‘Dia (Kit Siang) tidak berhak untuk memecat sesiapapun termasuk Ahmad Fairuz,’’ ujarnya.
No comments:
Post a Comment