Sunday, October 21, 2007

Usul lantik Kayveas menteri

KUALA LUMPUR: Wanita Parti Progresif Penduduk (PPP) mengeluarkan usul agar Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melantik Presiden PPP, Datuk M Kayveas sebagai menteri penuh bagi mewujudkan keseimbangan pembahagian dalam parti komponen Barisan Nasional (BN).

Usul itu antara 10 isu yang dibincangkan dalam perhimpunan Wanita PPP semalam yang menyifatkan perlantikan Kayveas sebagai menteri penuh dinantikan seluruh ahli PPP sejak sekian lama.

Ketuanya, Josephine Anne, berkata PPP sentiasa memberikan sokongan padu kepada BN dan berganding bahu dengan parti komponen bagi memastikan BN sentiasa mendapat sokongan rakyat.


Wanita PPP kecewa apabila mereka sering diketepikan rakan seperjuangan BN, terutama dalam menuntut hak kesamarataan seperti dinikmati wakil parti lain.

"Sudah sampai masanya kami diberi lebih peranan, terutama pengiktirafan sama rata oleh parti komponen lain," katanya.

Perhimpunan dirasmikan oleh Ketua Penerangan Wanita BN, Datin Paduka Seripah Noli Syed Hussin. Wanita PPP juga meminta kerajaan memastikan sekurang-kurangnya 30 peratus wanita terbabit dalam penggubalan dan pelaksanaan undang-undang, memberi pengetahuan hak individu di sisi undang-undang serta mewujudkan undang-undang keluarga mempertahankan wanita.

Sementara itu, Seripah Noli berkata, BN banyak berjasa kepada rakyat dengan mewujudkan kestabilan politik, ekonomi, sosial yang menguntungkan negara dan parti komponen.

Mengulas usul Wanita PPP meminta Perdana Menteri melantiknya sebagai menteri penuh, Kayveas menegaskan, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada Pengerusi BN membuat keputusan.

Kayveas yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, beliau akan menghantar satu lagi memorandum kepada Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad mengenai mesyuarat BN yang sepatutnya diadakan untuk membincangkan pengagihan kerusi pilihan raya.

No comments: