Sunday, October 21, 2007

Pita Lingam : Anwar beri amaran kepada BPR agar bertindak profesional


Sun | Oct 21, 07 | 8:37:30 pm MYT

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Hrkh) - "Saya ingin tanya BPR ini mempertahankan siapa? Pertahankan perasuah atau hendak mencari alasan teknikal menutup rasuah di negara kita?," kata Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Persoalan tersebut ditimbulkan Anwar sebagai respons kenyataan Badan Pencegah Rasuah (BPR) bahawa pita rakaman perbualan konspirasi kehakiman antara seorang peguam yang didakwa sebagai V.K Lingam itu tidak boleh dijadikan bukti kerana telah disunting oleh KeADILan.

Jelas Anwar, BPR ditubuhkan untuk menjaga kepentingan negara dan membersihkan negara daripada rasuah.

Image"Saya tidak terima ugutan yang leceh dan rendah seperti itu. Saya berpandangan bahawa tidak ada sebarang penyuntingan yang berlaku dan yang ada pendedahan pertama. segmen kedua akan didedahkan dan BPR mesti bertanggung jawab menjaga kedudukan orang yang membongkar cerita ini,"jelasnya sewaktu ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri dikediamannya, di Segambut hari ini.

Anwar berkata, apabila pita rakaman ini diedarkan seluruh negara, rakyat yang akan menentukan disebalik kebenaran yang dibawa oleh beliau.

Pengakuan Anwar sahih

"Bagi saya keterangan saya itu sahih. Saya sudah maklumkan BPR bahawa saya sudah lihat dan saya akan buktikan apabila tiba masa yang saya fikirkan sesuai.

"Sebenarnya tidak ada masalah sama ada pita itu disunting atau tidak. Ini hanya alasan untuk menutup dan melindungi rasuah. Kenyataaan akhbar BPR selalunya mempertahankan perasuah," jelasnya sambil menyatakan komitmennya untuk bekerjasama dengan BPR.

Katanya lagi, tuduhan tersebut juga tidak dinafikan oleh Tun Ahmad Fairuz dan V.K Lingam.

Tambah Anwar lagi kenyataannya selama ini agak 'sopan' terhadap BPR, justeru beliau meminta agar BPR melaksanakan tanggung jawab secara profesional dan tidak tunduk kepada ahli-ahli serta tokoh politik yang perasuah.

Dalam pada itu katanya, BPR boleh berbuat apa sahaja tetapi tidak boleh melindungi kenyataan yang sebenar.

Anwar boleh senaraikan sepuluh perasuah

"Saya boleh senaraikan sepuluh perasuah yang melibatkan berpuluh juta ringgit sama ada di kalangan Melayu, Cina, India. Kenapakah orang-orang ini dilindungi?"soalnya.

Sementara itu, ditanya sama ada adakah beliau menaruh sepenuh keyakinan kepada BPR jelas Anwar, beliau tidak mahu bersikap prejudis sebaliknya katanya, beliau bertanggung jawab menasihati BPR.

"Saya yang bertanggung jawab membentangkan Akta Rasuah 1997 yang memberi kekuasaan kepada BPR. Yang menentangnya ialah jemaah menteri dan peguam negara. Saya yang menekankan sebahagian daripada peruntukan akta tersebut

"Apa yang lebih penting, kita pertahankan supaya siasatan kes tersebut dilakukan secara terbuka. Ini adalah siasatan hakim yang terlibat dengan 'tauke' judi dan menteri Umno yang juga terlibat dengan tauke judi. Semua ini tidak dicatat. Rakyat Malaysia telah diperbodohkan oleh mereka,"tegasnya.Image

Anwar juga mengakui hanya sebahagian sahaja daripada media yang boleh membongkar perkara ini dan digunakan untuk menyerang pihaknya.

Sehubungan itu Anwar menyatakan beliau menunggu apa yang akan V.K Lingam nyatakan secara terbuka.

"Jika V.K Lingam dan Tun Fairus nafi secara terbuka, saya akan jawab. Kenapa BPR mempertahankan sedangkan V.K Lingam dan Tun Fairus belum menafikan secara terbuka

"Saya akan tunggu penafian tersebut secara terbuka dan saya akan jawab," katanya.

Anwar boleh dikenakan tindakan, kata BPR

Sementara itu, Ketua Pengarah BPR, Dato' Ahmad Said Hamdan dalam satu laporan ahbar hari ini menyatakan, siasatan pita itu hampir siap dan BPR telah merekodkan keterangan daripada semua pihak yang dikaitkan dengan kes itu.

Apa yang diperlukan oleh BPR sekarang, katanya ialah rakaman asal klip video berkenaan untuk dianalisis secara teknikal bagi mengesahkan ketulenannya.

Sehubungan itu, kata beliau, pihaknya memerlukan keseluruhan rakaman berkenaan daripada Anwar Ibrahim bagi melengkapkan kertas siasatan.Image

"BPR akan mengambil keterangan daripada beliau (Anwar) Isnin ini dan kita minta kerjasama beliau memberikan keseluruhan rakaman asal klip video berkenaan bagi melengkapkan kertas siasatan yang hampir siap," katanya.

Sebaliknya, ketika menjawab satu soalan, Ahmad Said menegaskan, Anwar boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 22 Akta Pencegah Rasuah jika enggan menyerahkan bukti berkenaan.

Menurut Ahmad Said, keseluruhan rakaman asal klip video itu diperlukan dalam proses pembuktian selain keterangan yang direkodkan daripada beberapa saksi.

Tegas Ahmad Said, proses pembuktian kesahihan klip video berkenaan selain keterangan saksi-saksi yang dikumpul juga merupakan perkara utama yang ditekankan oleh pejabat Peguam Negara.

Sementara itu kira-kira 15,000 tetamu daripada pelbagai lapisan masyarakat hadir dalam Majlis Rumah Terbuka Dato'Seri Anwar dan Wan Azizah.Image

Pemimpin PAS tidak ketinggalan menghadiri Majlis Aidilfitri tersebut. Antara yang hadir ialah Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa, Naib Presiden, Ustaz Ahmad Awang dan Timbalan Murshidul Am, Dato' Dr Harun Din.

Hadir sama, Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Ramli serta Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Ghani Shamsudin dan Dr Lo'lo' Ghazali./wann.

No comments: