Saturday, October 20, 2007

Klip video tidak pernah disunting, siasatan BPR jadi tanda tanya

Azamin Amin
Sat | Oct 20, 07 | 11:48:30 am MYT

KUALA LUMPUR, 20 Okt (Hrkh) - Kenyataan Badan Pencegah Rasuah (BPR) diselar kerana mendakwa klip video yang memaparkan perbualan telefon seorang peguam dengan seseorang yang dikatakan hakim kanan mengenai urusan pelantikan hakim dalam negara yang kini tidak boleh dijadikan bahan bukti kes kerana ia telah disunting sedangkan yang ditayangkan merupakan sebahagian awal klip tersebut.

Timbalan Presiden KeADILan Dr Syed Husin Ali berkata video berkenaan tidak pernah disunting sama sekali dan yang dipaparkan selama ini merupakan 8 minit awal daripada keseluruhan klip tersebut.

"Manakala bakinya akan kita paparkan setelah Suruhanjaya DiRaja ditubuhkan bagi menggantikan panel bebas yang sudah hilang wibawa dan tidak dapat menjamin keselamatan dan perlindungan saksi dalam kes ini," katanya ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.

"Ini penting kerana bahagian akhirnya akan menunjukkan beberapa orang yang hadir sewaktu perbualan itu dirakamkan dan akan mendedahkan saksi-saksi tertentu dalam kes ini," katanya.

Beliau juga membangkit persoalan dan menyelar BPR kerana tidak wajar bertindak menyiasat bagi pihak panel bebas sedangkan siasatan haruslah dilaksanakan oleh panel itu sendiri tanpa melibatkan agensi lain.

"Untuk mengesahkan kesahihan atau ketulenan klip video ini, panel bebas sepatutnya memanggil pakar-pakar dalam bidang multimedia dan teknologi untuk mengkajinya secara teknikal bukan menunggu keputusan BPR," katanya dan turut menambah tindakan ini membuktikan panel bebas tersebut tiada kuasa dan mempunyai kredibiliti.

"Apa guna tubuh panel bebas yang tiada kuasa memanggil saksi terutama yang disebut dalam klip ini seperti V.K Linggam, Vincent Tan, Adnan Mansor dan Tun Fairuz malah saksi-saksi lain tidak mahu tampil ke depan jika jaminan keselamatan dan tiada perlindungan saksi," katanya.

Beliau menggesa kerajaan membubarkan panel bebas ini supaya Suruhanjaya Diraja dapat dibentuk bagi menjalankan siasatan secara menyeluruh.

Sebelum itu dalam masa sama, dilaporkan Majlis Peguam menggesa kerajaan menubuhkan segera Suruhanjaya Diraja bagi menggantikan panel bebas dan menurut Presidennya, Ambiga Sreenevasan, ini kerana, panel bebas yang ditubuhkan pada 25 September lalu tidak mempunyai kuasa penuh untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh mengenai kes tersebut.

Menurut beliau, suruhanjaya diraja yang dilantik oleh Yang diPertuan Agong di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950, mempunyai kuasa untuk memanggil saksi, mewajibkan kehadiran dan menyediakan imuniti kepada para saksi bagi memastikan keberkesanan siasatan terhadap kes tersebut.

"Sekiranya mereka tidak mampu untuk menjalankan siasatan, lebih baik tubuhkan Suruhanjaya Diraja yang mempunyai kuasa menyeluruh untuk membuat siasatan," katanya.

Syed Husin berpendapat sikap melengah dan tidak mengendahkan tuntutan ini dilihat sebagai satu tindakan untuk menutup kes ini daripada didedahkan kepada umum memandangkan pilihan raya bakal menjelang yang boleh mengakibatkan kerajaan Barisan Nasional (BN) hilang sokongan daripada rakyat jelata.

Beliau turut berpandangan bahawa BPR sudah dijadikan alat oleh parti pemerintah untuk 'membersihkan' para pemimpinnya yang terlibat dalam pelbagai salah laku tertuatama yaang melibatkan rasuah.

"Korupsi dalam BPR sendiri harus diselidiki sehingga ke peringkat atasan supaya ketelusan dan kewibawaannya boleh diyakini rakyat selama ini," katanya.

Pada 27 September lalu kerajaan menubuhkan panel bebas khas diketuai bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohd. Noor dan dianggotai aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar untuk menjalankan siasatan terhadap kesahihan klip video berkenaan.

Panel yang hanya diberi tempoh 30 hari bekerja, mulai tarikh pengeluaran surat pelantikan anggotanya 27 September lalu dijadualkan bermesyuarat pada 29 Oktober ini.

Bagaimanapun mesyuarat yang dijadualkan itu terpaksa ditangguhkan kerana laporan siasatan daripada BPR masih belum diperolehi. - mns

No comments: