Sun | Oct 21, 07 | 2:02:36 pm MYT
KUALA LUMPUR, 21 Okt (Hrkh) - Belum pun gendang Pilihan Raya Umum ke-12 secara rasmi dipalu, namun perbalahan antara parti komponen Barisan Nasional (BN) sudah mula terlihat dengan beberapa kritikan pedas mula di utara oleh pelbagai lapisan pimpinan parti komponen BN.
Selepas nada sinis 'angkat keris' memperli Umno dilakukan oleh Pemuda Gerakan dalam Perhimpunan Tahunan parti itu baru-baru ini, semalam Pemuda Parti Progresif Penduduk (PPP) menghangatkan keadaan politik dalam gabungan BN apabila secara terbuka mendakwa BN tidak menjadi sahabat yang baik dan setia kepada parti itu.
Dalam satu laporan akhbar hari ini, Ketua Pemuda Gerakan, T Murugiah secara lantang memperingatkan BN bahawa PPP membuat pengorbanan besar demi perpaduan dan kepentingan negara.
Murugiah berkata demikian dalam ucapannya sempena Konvensyen Pemuda PPP di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini yang dirasmikan Presiden PPP, Dato' M Kayveas.
PPP pernah membelakangkan kepentingan diri ketika menyertai BN pada 1972, namun kecewa kini dianaktirikan dan semakin dilupai, kata Murugiah.
Malah, secara terbuka Murugiah menyatakan BN tidak jujur kerana enggan menunaikan janji dan memenuhi permintaan parti itu yang membabitkan pembahagian beberapa kerusi pilihan raya yang kini diambil oleh parti komponen lain.
"PPP menyertai BN atas dasar persefahaman. Walaupun dulu PPP menghadapi masalah dalaman, semangat PPP tetap unggul hingga hari ini dan masih menjadi sahabat setia BN. Malangnya, yang tidak setia kepada PPP adalah BN sendiri.
"Janji tidak serupa bikin, janji tidak dikota, janji menjadi janji kosong saja. Kedua-dua mata dan telinga ditutup, seolah-olah suara sesetengah anggota kami tidak kedengaran. Wahai sahabatku di BN, kembalikan kerusi kami, janganlah membisu seribu bahasa, marilah kita menghayati prinsip ketiga dan kelima Rukun Negara iaitu Keluhuran Perlembagaan, Kesopanan dan Kesusilaan," katanya.
Sementara itu, Naib Presiden Umno, Dato' Mohd Ali Rustam menyampaikan satu ucapan yang pedas membidas PPP kerana 'mengugut' BN untuk mendapatkan lebih banyak kerusi dalam pilihan raya umum akan datang.
Ketika berucap merasmikan perhimpunan tahunan PPP Melaka Isnin lalu, beliau berulang kali menegaskan bahawa PPP boleh keluar dari BN jika parti itu tidak puas hati.
Ini menyebabkan ahli-ahli parti itu kebingungan mengapa Ketua Menteri Melaka itu selaku tetamu kehormat di majlis tersebut menyampaikan ucapan seumpama itu.
"Beliau datang ke rumah kita, tetapi nampaknya dengan niat untuk memalukan kita," kata satu sumber PPP yang turut menghadiri majlis tersebut.
Para saksi berkata, ada ahli-ahli PPP yang bertindak keluar dewan sebagai tanda bantahan, tetapi ia tidak dipedulikan oleh Mohd Ali.
Mohd Ali berkata, PPP boleh keluar dari BN.
Sambil menuding jari ke arah para pewakilan, beliau berkata mereka semua boleh keluar dari BN, sama ada hari ini atau esok dan mengapa harus menunggu hingga pilihan raya umum.
Mungkinkan kata-kata kecaman Pemuda PPP ini akan meretakkan lagi hubungan parti komponen BN selepas Gerakan secara lantang mempertikai beberapa perkara yang diamalkan oleh kerajaan pimpinan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Atau pun, kata-kata itu hanya sekadar penghangat kepada konvensyen yang diadakan sedangkan selepas ini setelah diarahkan menutup mulut demi perpaduan BN, akhirnya kecaman akan dianggap sebagai 'tersasul' sahaja.
Apa kata Pemuda Umno yang kini semakin nampak didominasi oleh Naib Ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin dalam isu kecaman Pemuda PPP ini, sama-sama kita nantikan.
No comments:
Post a Comment