Monday, October 22, 2007

Dr Mahathir keluar IJN

Oleh Mohamed Farid Noh


KEMBALI CERIA: Dr Mahathir melambai kepada orang ramai sambil ditemani Mokhzani dan pegawai perubatan selepas keluar dari IJN semalam.

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) pagi semalam, genap tujuh minggu atau 49 hari selepas dimasukkan ke institut itu pada 2 September lalu untuk pembedahan kali kedua pintasan jantung yang berlangsung dua hari kemudian.

Dr Mahathir yang berkemeja merah berjalan sendiri meninggalkan wadnya jam 10.20 pagi, diiringi isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, enam anaknya dan beberapa doktor ke kereta, kelihatan ceria dan melambai kepada orang ramai yang berada di IJN.

Antara anaknya yang hadir ialah Datuk Mukhriz, Datuk Mokhzani dan Datin Paduka Marina.


Marina ketika ditemui berkata, keluarganya bersyukur kerana Dr Mahathir dibenarkan pulang ke rumah selepas kesihatannya semakin baik.

"Ada masanya kami pernah terfikir yang kami tidak akan berpeluang melihat beliau dibawa pulang. Melihat ayah berjalan sendiri untuk pulang adalah saat yang sukar diungkapkan dengan kata-kata.

"Perkara pertama yang akan dilakukan bersama ayah ialah kembali menjalani hidup seperti biasa dan meminta beliau berehat sepuas-puasnya di rumah," katanya.

Ketua Pembedahan Kardiotorasik IJN, Tan Sri Dr Yahya Awang, berkata dua jururawat IJN akan dihantar ke rumah Dr Mahathir selama beberapa hari untuk memantau kesihatannya 24 jam.

"Walaupun Tun dibenarkan pulang, beliau akan kembali untuk rawatan susulan seminggu sekali di IJN selama beberapa minggu. Kami jangkakan kesihatan Tun kembali seperti biasa selepas ini dan beliau boleh melakukan perkara yang biasa dilakukannya sebelum ini," katanya.

No comments: