Sunday, May 24, 2009

'Henti keruhkan suasana Perak'

'Henti keruhkan suasana Perak'
Oleh Mohd Husni Mohd Noor
bhnews@bharian.com.my

Menteri Besar minta semua pihak elak kemelut berpanjangan, tumpu kestabilan

IPOH: Kerajaan Perak meminta semua pihak menghentikan segala tindakan yang meningkatkan ketegangan dan perasaan tidak selesa di kalangan rakyat sebaliknya bersama-sama membantu memaju dan membangunkan negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata pihaknya percaya majoriti rakyat negeri ini sudah bosan dengan kemelut politik yang berpanjangan sebaliknya mahukan kestabilan, suasana harmoni dan aman supaya jentera pentadbiran kerajaan berfungsi dengan lancar.

"Sudah tiba masanya bahang dan suhu politik yang tinggi di negeri ini dikurangkan dan ahli politik perlu bertanggungjawab selain tidak mencetuskan suasana huru hara yang boleh mengeruhkan lagi keadaan.

"Kami akan sedaya upaya mengurangkan 'bahang' berkenaan menerusi sesi penerangan kepada seluruh rakyat Perak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-35 Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Bahagian Perak, di sini, semalam.

Hadir sama Pengerusi Perkim Bahagian Perak, Datuk Dr Abu Bakar Shaari.

Ditanya mengenai tindakan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang ingin mencabar keputusan Mahkamah Rayuan semalam, Zambry berkata, itu adalah hak beliau berbuat demikian.

Bagaimanapun, beliau berharap Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak itu tidak cuba meracuni fikiran rakyat dengan berkempen dan memberi ceramah di seluruh negeri dengan maklumat yang tidak tepat.

Katanya, dari segi aspek demokrasi dan perundangan, sudah jelas keputusan sebenarnya memihak kepada Barisan Nasional (BN) Perak.





Rakyat semakin jemu - Zambry

IPOH 23 Mei - Semua pihak perlu bekerjasama mengurangkan bahang politik keterlaluan yang mengganggu keharmonian dan meresahkan rakyat negeri ini, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Menurut beliau, rakyat semakin jemu dengan pergolakan yang berlaku dan berharap supaya krisis politik dalam negeri diselesaikan menerusi jalan terbaik tanpa menjejaskan ketenteraman awam.

''Untuk mengurangkan bahang politik ini, ahli-ahli politik mesti bertanggungjawab iaitu melaksanakan peranan dan tugas dengan tidak mencetuskan huru-hara atau suasana yang membimbangkan rakyat sama ada di pentas-pentas politik atau ceramah.

''Kalau masing-masing terus bermain dengan sentimen kebencian umpamanya mengadakan ceramah untuk memastikan sokongan kepada satu-satu pihak, akan menimbulkan lagi suasana yang tidak baik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Perak ke-35 di sini hari ini.

Semalam, Mahkamah Rayuan mengisytiharkan Zambry adalah Menteri Besar Perak yang sah, mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi 11 Mei lalu yang mengumumkan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin ialah Menteri Besar.

Jelas Zambry, tumpuan sekarang ialah memastikan pentadbiran negeri berjalan lancar selain turut berusaha agar perpaduan kaum di kalangan masyarakat negeri ini dikekalkan.

''Saya juga akan meneruskan agenda mengembalikan kestabilan supaya rakyat dapat hidup aman serta memastikan perancangan pembangunan ekonomi berjalan dengan sebaik-baiknya," katanya.

Menurut beliau, sekiranya wujud pertikaian politik, jalan terbaik yang wajar diambil ialah membawanya ke muka pengadilan dan bukannya meracuni pemikiran rakyat menerusi tohmahan yang sengaja diada-adakan.

''Biarlah jalan perundangan itu dilaksanakan dengan sebaik-baiknya tanpa menganggu gugat ketenteraman rakyat dalam negeri Perak ini," katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Zambry mengumumkan pemberian bantuan sebanyak RM50,000 kepada Perkim bagi menjalankan aktiviti-aktiviti dakwah dan meningkatkan syiar Islam di kalangan masyarakat.

MEMANG BETUL. Rakyat jemu dgn ko jer Zambry. Dulu minta restu rakyat, dah kalah tak boleh terima.

No comments: