Nizar sedia jumpa Najib
BUKIT MERTAJAM: Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, menyatakan kesediaannya bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bagi menyelesaikan krisis politik Perak.
Ahli Parlimen Bukit Gantang itu berkata, Pakatan Rakyat sebelum ini pernah menyuarakan kesediaan mereka dan berharap pertemuan itu membuahkan hasil positif demi kepentingan rakyat.
"Kita mahu meredakan kemelut politik di Perak dan pertemuan itu mungkin berguna kepada rakyat Perak. Saya sedia bertemu (Najib). Hal ini ada kita nyatakan dulu," katanya kepada pemberita di pekarangan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Penanti dekat sini, semalam.
Dewan Perdana di IKBN itu dijadikan Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti yang menyaksikan pertandingan empat penjuru dengan tiga daripadanya calon Bebas.
Mahkamah Rayuan, kelmarin sebulat suara mengesahkan Dr Zambry Abd Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah dan menolak keputusan Mahkamah Tinggi pada 11 Mei lalu bahawa Mohammad Nizar masih Menteri Besar Perak.
Mohammad Nizar berkata, pihaknya tetap akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan di Mahkamah Persekutuan, seawal-awalnya esok bagi mencabar keputusan berkenaan.
"Kita juga akan mengkaji keputusan Mahkamah Rayuan yang tidak memihak kepada kita untuk dijadikan penghujahan bagi rayuan," katanya.
Beliau berkata, penyelesaian mahkamah bukan jalan terbaik kepada Barisan Nasional (BN) mahupun Pakatan Rakyat bagi mengatasi krisis politik di negeri itu, sebaliknya keputusan itu harus diserahkan kepada rakyat.
Katanya, peranan mahkamah hanya mentafsir undang-undang sedia ada sedangkan pembentukan kerajaan negeri dipilih melalui mandat rakyat.
"Jika kita menang sekalipun dalam perbicaraan mahkamah, kita tetap akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus menyerahkan hak memilih kepada rakyat. Ini pendirian kita dari awal," katanya.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, berkata kesahihan pembentukan kerajaan negeri tidak wajar diserahkan kepada dua atau tiga individu, sebaliknya diputuskan melalui proses demokrasi.
"Biarlah parti politik membawa dasar dan pendekatan masing-masing melalui proses pilihan raya dan terserah kepada rakyat untuk membuat pemilihan," katanya.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment