Sunday, May 24, 2009

Bapa mertua Mukhriz meninggal

Bapa mertua Mukhriz meninggal

SEREMBAN 23 Mei - Bapa mertua kepada Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Mahathir meninggal dunia di kediamannya di Taman Sri Antan di sini, petang ini.

Mukhriz yang bergegas ke sini dari Kuala Lumpur sebaik saja menerima berita kematian itu, berkata, bapa mertuanya, Zakaria Jundai, 83, pengsan pada pukul 4.30 petang di rumahnya sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja'afar Seremban.

"Allahyarham sebelum ini menghadapi masalah jantung," katanya kepada pemberita di rumah Allahyarham di Taman Sri Antan, malam ini.

Katanya lagi, Allahyarham akan dikebumikan di Kampung Beting, Kuala Pilah pada pukul 11 pagi esok.

Allahyarham Zakaria merupakan pesara polis berpangkat sarjan dalam Unit Pasukan Polis Hutan dan pernah berkhidmat di Simpang Renggam, Johor.

Beliau meninggalkan sembilan orang anak dan anak kelapan Allahyarham iaitu Norzieta Zakaria merupakan isteri kepada Mukhriz.

Sebelum ini, kata Mukhriz, isteri Allahyarham, Juriah Ahmad, 70, meninggal dunia pada awal tahun lepas.

No comments: