Sunday, May 24, 2009

Ekonomi boleh musnah

Ekonomi boleh musnah

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
rodelio.taucan@utusan.com.my

KOTA BHARU 23 Mei - Ketaksuban rakyat terhadap sentimen politik pada masa ini boleh mengakibatkan ekonomi negara musnah.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, jika rakyat alpa segala kemajuan yang dicapai oleh negara selama ini boleh hilang dalam sekelip mata sekiranya tidak dijaga dengan baik.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan rakyat agar tidak terlalu terikut-ikut dengan sentimen politik semasa sebaliknya kembali bersama-sama kerajaan menangani krisis ekonomi yang sedang berlaku.

"Separuh daripada 1.4 bilion umat Islam di dunia berada di bawah garis kemiskinan, tetapi atas pelbagai usaha kerajaan, negara kita selamat daripada masalah ini.

"Tetapi kadang-kadang kita alpa, sehingga apa yang kita ada sekarang umpama 'telur dihujung tanduk' jika masalah politik ini terus berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan mesyuarat agung ke-10 Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) Kelantan di sini hari ini.

Menurut beliau, ramai penulis luar negara menghasilkan tulisan yang menyamakan Malaysia dengan krisis politik di Thailand dengan mengambil contoh masalah yang berlaku di Perak.

Situasi itu, katanya, boleh menimbulkan persepsi negatif mengenai Malaysia kepada dunia luar terutama sekali pelabur asing yang merupakan antara penyumbang kepada pembangunan negara.

"Kita sepatutnya memikirkan bagaimana boleh menegakkan syiar Islam, mengekalkan pembangunan dan kemajuan negara.

"Kalau kita terus merusuh, tidak ada keamanan, dan mencabar raja, ia akan memberi kesan kepada ekonomi negara terutama sekali usahawan bumiputera," tegasnya.

Tambah beliau, untuk menjadikan ekonomi negara berjaya, rakyat perlu kembali bersatu dengan kerajaan dan bersama-sama berusaha membawa perubahan.

Sementara itu, bercakap mengenai Perdasama, beliau menyeru para peniaga Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) supaya menjadi ahli kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu untuk memastikan perniagaan mereka berjalan lancar.

Katanya, Perdasama yang mempunyai 13,000 ahli itu merupakan salah satu landasan untuk kerajaan menyampaikan maklumat kepada para peniaga di seluruh negara.

"Kerajaan telah menyediakan banyak peluang untuk membuka perniagaan kepada usahawan bumiputera melalui pinjaman mikro kredit, Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (Tekun).

No comments: