Sunday, May 24, 2009

Barisan Nasional yakin rampas kerusi

Barisan Nasional yakin rampas kerusi


PUTRAJAYA: Barisan Nasional (BN) yakin akan merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Manik Urai, Kelantan pada pilihan raya kecil di situ, berikutan kepercayaan rakyat terhadap parti itu yang semakin meningkat.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata BN dan parti pembangkang mempunyai peluang sama rata pada pilihan raya kecil itu kerana BN juga pernah menduduki kerusi DUN berkenaan.

"Walaupun di atas kertas BN dan parti pembangkang kini mempunyai peluang 50:50 untuk memenangi pilihan raya kecil ini, saya percaya rakyat di situ akan tetap memilih BN kerana kemampuan kita memenuhi kehendak dan meneruskan agenda pembangunan di kawasan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Guru Peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya, di sini, semalam.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilaporkan akan bermesyuarat Khamis ini untuk menentukan tarikh penamaan calon dan hari pengundian bagi pilihan raya kecil DUN Manik Urai, yang kosong berikutan kematian penyandangnya, Ismail Yaacob, kelmarin.

Ismail, 60, daripada Pas mula memenangi kerusi DUN Manik Urai pada pilihan raya umum 1985. Beliau meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ-II), Kota Bharu kira-kira jam 5.55 pagi kerana sakit jantung selepas dimasukkan ke hospital itu sejak 26 April lalu.

Allahyarham adalah antara wakil rakyat Pas paling lama di Kelantan apabila menjadi Adun Manik Urai selama lima penggal sejak 1985. Hanya pada Pilihan Raya Umum 2004, beliau tidak mempertahankan kerusi itu sebaliknya Pas diwakili Zamzuri Mat Lazim, yang tewas kepada calon BN, Mohamed Zulkifli Omar, dengan majoriti 53 undi.

Ketika ditanya mengenai kenyataan beberapa pemimpin pembangkang terutama Pas yang mencadangkan supaya BN tidak meletakkan calon di Manik Urai kerana akan kalah, Tengku Adnan berkata BN tidak akan terpengaruh dengan permainan politik parti lawan.

Mengenai calon BN di DUN Manik Urai, Tengku Adnan berkata, masih terlalu awal untuknya memberi sebarang kenyataan kerana SPR belum mengumumkan tarikh penamaan calon dan pengundian.

Terdahulu, Tengku Adnan menyampaikan Anugerah Tokoh Guru 2009 Peringkat Putrajaya yang dimenangi Guru Besar Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 11(3), Datin Bibi Zuhara Dilbarkhan.

No comments: