Sunday, May 24, 2009

Tiada ketegangan ketika proses penamaan calon

Tiada ketegangan ketika proses penamaan calon


BUKIT MERTAJAM: Proses penamaan calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, berjalan lancar, teratur dan penuh tertib, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Beliau berkata, tiada ketegangan berlaku sepanjang proses itu, malah tiada kesesakan trafik di kawasan berhampiran Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), yang dijadikan pusat penamaan calon.

Katanya, suasana ketika proses penamaan calon tenteram, malah agak senyap berbanding pilihan raya lain, dipercayai berikutan ketiadaan calon Barisan Nasional (BN) bertanding pada pilihan raya kecil itu.

"Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga tidak membawa penyokong yang ramai, mungkin sekitar 2,000 orang saja walaupun mereka memonopoli kedua-dua laluan ke pusat penamaan calon," katanya ketika dihubungi, semalam.

Sambil memuji disiplin penyokong parti dan calon, Abdul Aziz berkata, SPR berharap suasana itu kekal sehingga hari pengundian pada 31 Mei ini apabila semua calon mematuhi setiap peraturan, khususnya ketika berkempen.

Beliau menjangka pilihan raya kecil itu tidak sehangat pemilihan di kebanyakan kawasan lain berikutan PKR sebagai penyandang kerusi hanya bersaing dengan calon Bebas.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakub, berkata tiada insiden buruk berlaku sepanjang proses penamaan calon.

"Hampir 500 anggota keselamatan ditempatkan di sekitar pusat penamaan calon, mulai jam 5 pagi. Semuanya terkawal, termasuk aliran trafik," katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Media Polis Bagi Pilihan Raya Kecil Penanti, Superintendan Shaharon Anuar Abdul Latif, mengingatkan semua calon dan penyokong mematuhi peraturan sepanjang tempoh berkempen.

Katanya, jika didapati mana-mana pihak atau individu melakukan perbuatan itu, tindakan terhadap mereka boleh dikenakan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 dan Kanun Prosedur Jenayah.

No comments: