Sunday, May 24, 2009

Pertandingan empat penjuru di DUN Penanti

Pertandingan empat penjuru di DUN Penanti

Oleh Fazli Abdullah, Fazallah Pit, Norakmah Mat Youb dan Amin Ridzuan Ishak
bhnews@bharian.com.my


CALON pilihan raya kecil DUN Penanti (dari kiri) Kamarul Ramizu, Mansor, Nai dan Aminah mengangkat tangan selepas selesai proses penamaan calon di pusat penamaan calon di Bukit Mertajam, semalam.

PKR mahu mempertahan kerusi dicabar tiga calon Bebas

BUKIT MERTAJAM: Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti (N12), 31 Mei ini, menyaksikan pertandingan empat penjuru, dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dicabar tiga calon Bebas selepas seorang lagi calon Bebas ditolak kertas pencalonannya.

PKR yang mempertahankan kerusi itu, mencalonkan Timbalan Pengerusi PKR Pulau Pinang, Mansor Othman, 59.

Beliau dicabar bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Aminah Abdullah, 56, yang menggunakan lambang kunci; pengurus kilang keturunan Siam, Nai Khan Ari Nan Keow, 41, (wau bulan) dan ahli perniagaan, Kamarul Ramizu Idris, 42 (payung).

Kertas pencalonan seorang lagi calon Bebas, ahli perniagaan, Mohd Saberi Othman, 49, ditolak oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana tidak menepati syarat.

Ini kali keempat Mansor bertanding selepas kalah tiga kali berturut-turut pada Pilihan Raya Umum 1999, 2004 dan 2008. Pilihan raya kecil ini juga adalah percubaan kali kedua Kamarul Ramizu selepas bertanding pada pilihan raya kecil Bukit Gantang, bulan lalu dan memperoleh 62 undi.

Bagi Aminah dan Nai yang juga bekas Ketua Pemuda Gerakan Cawangan Telok Wang, Penanti, ini adalah percubaan kali pertama.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Roslan Yahaya, berkata SPR menerima lima kertas pencalonan apabila penamaan calon dibuka mulai jam 9 pagi di Dewan Perdana Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Penanti, dekat sini.

Aminah adalah calon pertama mengemukakan kertas pencalonan pada jam 9.03 pagi, diikuti Mansor pada jam 9.10 pagi, Mohd Saberi pada jam 9.11 pagi, Nai pada jam 9.15 pagi dan Kamarul Ramizu pada jam 9.17 pagi.

Turut hadir, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng; Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu dan beberapa pemimpin kanan Pakatan Rakyat.

Pilihan raya DUN Penanti diadakan berikutan peletakan jawatan Mohammad Fairus Khairuddin daripada PKR pada 16 April lalu, dengan alasan mahu melanjutkan pengajian ke peringkat pasca siswazah.

Barisan Nasional (BN) tidak meletakkan calon pada pilihan raya kecil itu kerana tidak mahu terperangkap dengan permainan politik pembangkang. Ini kali kedua BN tidak meletakkan calon selepas melakukannya dalam pilihan raya kecil Parlimen Menglembu, Perak pada 1975.

Seramai 15,384 pengundi, termasuk 24 pengundi pos layak mengundi pada pilihan raya kecil keenam selepas Pilihan Raya Umum 2008. Daripada bilangan pengundi itu, 76.68 peratus adalah Melayu, 24.22 peratus (Cina), 2.3 peratus (India) dan 0.71 peratus (lain-lain).

Sementara itu, kira-kira 2,000 hingga 3,000 penyokong Pakatan Rakyat hadir untuk memberi sokongan kepada calon mereka sebelum berarak ke pusat penamaan calon, kira-kira jam 8.30 pagi.

Ketiadaan calon BN pada pilihan raya kecil itu menyebabkan suasana di luar pusat penamaan calon agak hambar, berbanding pilihan raya kecil sebelum ini yang mampu menarik puluhan ribu penyokong parti bertanding.






Empat rebut DUN Penanti


DARI KIRI, Kamarul Ramizu Idris (Bebas), Mansor Othman (PKR), Nai Khan Ari (Bebas) dan Aminah Abdullah (Bebas) mengangkat tangan selepas nama mereka diumum bertanding pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Penanti di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, semalam.


BUKIT MERTAJAM 23 Mei – Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti pada 31 Mei ini menyaksikan pertandingan empat penjuru antara tiga calon Bebas dengan seorang calon Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Selepas tempoh bantahan ditutup pada pukul 12 tengah hari ini, Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Roslan Yahaya mengumumkan hanya empat calon yang akan bertanding pada pilihan raya itu.

Empat calon tersebut ialah Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Dr. Mansor Othman, 59, bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Aminah Abdullah, 56, bekas Ketua Pemuda Gerakan Cawangan Telok Wang, Penanti, Nai Khan Ari, 41, dan pakar motivasi Kamarul Ramizu Idris, 42.

Roslan ketika ditemui selepas pengumuman itu di pusat penamaan calon di Dewan Perdana, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) berkata, kertas pencalonan seorang lagi calon Bebas iaitu ahli perniagaan, Mohd. Saberi Othman, 49, ditolak kerana tidak menepati syarat ditetapkan.

Beliau berkata, sepanjang tempoh bantahan yang bermula pukul 11 pagi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima enam bantahan.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut mengenai bentuk bantahan tersebut.

Pilihan Raya Kecil DUN Penanti diadakan selepas penyandangnya Mohammad Fairus Khairuddin meletak jawatan dengan alasan mahu melanjutkan pengajian ke peringkat pasca ijazah.

Terdahulu, pada sebelah pagi, pusat penamaan calon di IKBN, Jalan Berapit, Penanti dibuka pukul 9 pagi.

Sehingga pukul 9.23 pagi, hanya lima orang menyerahkan borang pencalonan.

Bagaimanapun menurut Timbalan Setiausaha SPR, Datuk Nordin Che Ngah, tujuh borang pencalonan telah dikeluarkan oleh SPR.

Sebelum ini, desas-desus mengatakan seorang lagi calon Bebas akan tampil menyerahkan borang pencalonan tetapi sehingga tamat tempoh penerimaan borang itu, individu berkenaan tidak muncul.

Aminah menyerahkan borang pencalonan sebaik sahaja pusat penamaan calon dibuka pukul 9 pagi diikuti Mansor pukul 9.10 pagi. Beliau diiringi Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin PKR lain.

Lima minit kemudian, Mohd. Saberi yang juga bekas pesara tentera muncul dengan berpakaian baju Melayu berwarna merah hati, lengkap dengan samping dan bersongkok menyerahkan borang pencalonan.

Calon berketurunan Siam, Nai Khan Ari tiba bersama pencadangnya, Boon Sisa Wang dan penyokong, Nah Lee menyerahkan borang pencalonannya pukul 9.18 pagi.

Sementara Kamarul Ramizu menyerahkan borang pencalonan pada jam 9.20 pagi.

Sementara itu, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof ketika ditemui Mingguan Malaysia memberitahu, pihaknya berpuas hati dengan perjalanan proses penamaan calon.

“Setakat ini, saya dapati semuanya berjalan lancar dan para penyokong calon dari parti yang bertanding akur dengan arahan dan peraturan yang telah ditetapkan,” katanya.

DUN Penanti mempunyai 15,384 pengundi biasa dan 24 pengundi pos dengan 72.68 peratus adalah pengundi Melayu, 24.22 peratus Cina, 2.39 peratus India dan 0.71 peratus bangsa lain.

No comments: