Sunday, May 24, 2009

Manik Urai penting kepada BN

Manik Urai penting kepada BN
Oleh Ismail Mat, Wan Faizal Ismayatim dan Nor Fazlina Abdul Rahim
bminggu@bharian.com.my

Umno tak beri laluan mudah

JELI: Umno Kelantan menganggap pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, sebagai amat penting bagi membuktikan Barisan Nasional (BN) masih relevan dan diterima rakyat bukan saja di Kelantan, malah seluruh negara.

Pengerusinya, Datuk Mustapa Mohamed, berkata walaupun sebarang keputusan bagi pilihan raya kecil berkenaan tidak mengubah landskap politik di Kelantan, namun BN tidak akan memberi laluan mudah kepada Pas dan akan bekerja keras untuk memastikan kemenangan.

"Manek Urai memberi signifikan besar kepada Umno walaupun ada pihak berpandangan ia tidak membawa sebarang makna kerana apa juga keputusannya tidak mengubah DUN Kelantan. Tetapi bagi saya, kalau kita berjaya ia akan mengubah persepsi rakyat bahawa Umno dan BN masih relevan.

"Sudah tentu kemenangan BN akan memberi semangat baru kepada ahli Umno bukan saja di Kelantan, malah seluruh negara, sekali gus menggambarkan Umno dan BN masih kekal utuh sebagai parti yang memperjuangkan nasib seluruh rakyat," katanya.

Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) berkata demikian kepada media selepas merasmikan Karnival Proton Bersama Rakyat di Kompleks Rehat dan Rawat (R&R) Gemang, di sini, semalam. Turut hadir, Pengarah Urusan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir.

Mustapa turut melahirkan keyakinan BN mampu merampas kembali DUN Manek Urai daripada Pas menerusi kerja keras dan komitmen tinggi semua pihak dalam Umno Kelantan sambil dibantu jentera parti dari negeri lain.

Mengenai calon yang akan diletakkan BN di Manek Urai, Mustapa berkata, masih terlalu awal untuk menentukannya dan Umno Kelantan akan mengadakan mesyuarat terlebih dahulu bagi membincangkan persiapan menghadapi pilihan raya kecil berkenaan.

Sementara itu di PUTRAJAYA, BN yakin akan merampas kerusi DUN Manik Urai pada pilihan raya kecil di situ, berikutan kepercayaan rakyat terhadap parti itu yang semakin meningkat.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata BN dan parti pembangkang mempunyai peluang sama rata pada pilihan raya kecil itu kerana BN juga pernah menduduki kerusi DUN berkenaan.

"Walaupun di atas kertas BN dan parti pembangkang kini mempunyai peluang 50:50 untuk memenangi pilihan raya kecil ini, saya percaya rakyat di situ akan tetap memilih BN kerana kemampuan kita memenuhi kehendak dan meneruskan agenda pembangunan di kawasan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Guru Peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya, di sini, semalam.





Pilihan raya kecil Manek Urai penting bagi UMNO

JELI 23 Mei - Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai amat penting bagi UMNO kerana ia akan menjadi pencetus kebangkitan ahli parti itu di negeri ini dan seluruh negara amnya.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed berkata, ia juga bakal menjadi ukuran penerimaan rakyat terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN) setelah keputusan yang mengejutkan pada pilihan raya umum lalu.

Beliau berkata, biar pun Manek Urai adalah kubu kuat Pas, BN tetap berpeluang untuk menang berdasarkan keputusan pilihan raya umum 2004.

"Pada 2008, kita kalah dengan majoriti lebih 1,300 tetapi kali ini kita akan bekerja lebih kuat. UMNO Kelantan dengan bantuan rakan-rakan dari negeri lain akan berusaha untuk memastikan BN menang untuk mengembalikan keyakinan rakyat.

"Manek Urai adalah kubu kuat Pas tetapi kita menang pada 2004, ini menunjukkan kita berjaya menembusi kawasan ini dengan rancangan serta strategi yang baik untuk menawan hati rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Proton Bersama Rakyat di kawasan R&R Gemang di sini hari ini.

Kerusi DUN Manek Urai kosong selepas penyandangnya, Ismail Yaacob, 60, meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini pagi semalam.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka bermesyuarat Khamis ini untuk memutuskan tarikh penamaan calon dan pengundian pilihan raya kecil itu, sekiranya menerima makluman mengenai kekosongan itu Isnin ini.

Ismail yang mewakili Pas memenangi kerusi DUN Manek Urai sejak pilihan raya umum 1986.

Bagaimanapun pada pilihan raya umum 2004, beliau tidak dicalonkan untuk kerusi tersebut, sebaliknya diwakili oleh Zamzuri Mat Lazim yang tewas kepada wakil Barisan Nasional, Mohamed Zulkifli Omar dengan majoriti 53 undi.

Beliau yang juga Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Kuala Krai dipilih semula untuk mewakili Pas di kawasan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-12 dan menewaskan Mohamed Zulkifli dengan majoriti 1,325.

Manek Urai terletak dalam kawasan Parlimen Kuala Krai, yang turut mempunyai DUN Dabong, Guchil dan Mengkembang.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, UMNO Kelantan akan mengadakan mesyuarat malam ini untuk membincangkan pilihan raya kecil tersebut.

"Mesyuarat ini dirancang lebih awal lagi tetapi ia kebetulan dengan kematian Allahyarham, jadi kita mengambil kesempatan ini untuk membincangkan mengenai pilihan raya kecil.

"Malam ini kita juga akan membincangkan mengenai pelantikan ahli jawatankuasa Badan Perhubungan UMNO yang baru," katanya.

No comments: