Sunday, May 24, 2009

BN tidak turun kempen di DUN Penanti

BN tidak turun kempen di DUN Penanti


Najib bersama pemimpin BN menghadiri Majlis Makan Malam Gabungan Persatuan Cina Pahang di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah Pekan, malam tadi.

PEKAN: Datuk Seri Najib Razak berkata, Barisan Nasional (BN) tiada kaitan dengan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti di Pulau Pinang, dan tidak akan menghantar sesiapa berkempen pada pilihan raya itu pada 31 Mei ini.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN berkata, BN tidak terbabit dengan pilihan raya kecil DUN Penanti kerana ia sengaja diadakan untuk menyelesaikan masalah dalaman parti pembangkang dan jelas sekali ia juga permainan politik mereka.

"Kita tidak terbabit dengan pilihan raya kecil ini dan tidak akan hantar orang kita berkempen di sana," katanya pada sidang media selepas merasmikan mesyuarat agung perwakilan tahunan ke-15 Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) Pahang, di sini, semalam.

Pilihan raya kecil Penanti menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mansor Othman, 59, yang akan dicabar tiga calon Bebas, iaitu Aminah Abdullah, 56, yang juga bekas Ketua Wanita PKR, bekas Ketua Pemuda Gerakan cawangan Teluk Wang, Nai Khan Ari, 41, dan pakar motivasi, Kamarul Ramizu Idris, 42.

Pencalonan seorang lagi calon Bebas, Mohd Saberi Othman, 49, ditolak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Mengenai pilihan raya kecil DUN Manik Urai, Kelantan yang kosong berikutan kematian penyandangnya, Ismail Yaacob, kelmarin, Najib berkata, BN akan menunggu cadangan senarai calon daripada Badan Perhubungan Umno Kelantan.

"Saya sudah kata sebelum ini bahawa kawasan DUN Manik Urai dikosongkan kerana wakil rakyatnya (Ismail) meninggal dunia dan ini satu tuntutan dalam Perlembagaan Persekutuan untuk diisi orang lain dan BN akan letak calon bertanding," katanya.

Ismail, 60, daripada Pas memenangi kerusi DUN Manik Urai sejak Pilihan Raya Umum 1986 dan meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu pagi kelmarin kerana sakit jantung.

Sementara itu, ketika berucap pada majlis makan malam Gabungan Persatuan Cina Pahang, malam tadi, Najib yakin kepelbagaian masyarakat berbilang kaum adalah sumber kekuatan bagi membantu proses transformasi Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi.

"Saya juga percaya masyarakat berbilang kaum adalah sumber kekuatan negara dan kalau kita dapat terjemahkan kekuatan ini, Malaysia mempunyai potensi besar untuk mencipta strategik baru sebagai gerbang kepada pasaran modal baru," katanya.



BN tidak sokong calon Bebas – PM

PEKAN 23 Mei – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menafikan dakwaan kononnya Barisan Nasional (BN) terlibat secara tidak langsung dengan menyokong salah seorang calon Bebas berkempen pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti.

Tegas Perdana Menteri, salah seorang calon Bebas itu iaitu Nai Khan Ari, 41, yang merupakan bekas ahli parti Gerakan tidak mendapat sebarang sokongan daripada BN dalam kempen pilihan raya kecil itu.

‘‘Kita (BN) tidak terlibat dalam kempen (pilihan raya kecil DUN Penanti) dan kita tidak akan hantar sesiapa pun untuk berkempen,” tegas beliau.

Najib berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan ke-15 Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) cawangan Pahang di Dewan Majlis Daerah Pekan (MDP) di sini hari ini.

Najib mengulas dakwaan sesetengah pihak kononnya Nai Khan Ari yang berketurunan Siam dan merupakan bekas ahli Gerakan mendapat sokongan BN untuk berkempen pada Pilihan Raya Kecil DUN Penanti pada 31 Mei ini.

Pilihan raya kecil itu menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan tiga calon Bebas selepas tempoh penamaan ditutup hari ini.

Empat calon itu ialah Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Mansor Othman, 56, bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Aminah Abdullah, 56, pengurus syarikat yang juga bekas Ketua Pemuda Gerakan Cawangan Telok Wang, Penanti, Nai Khan Ari dan penceramah motivasi Kamarul Ramizu Idris, 42.

Najib yang juga Pengerusi BN berkata, beliau tidak tahu menahu mengenai latar belakang calon-calon yang bertanding dalam pilihan raya kecil tersebut.

Beliau menegaskan, walaupun salah seorang calon bebas itu merupakan bekas ahli Gerakan tetapi ia tidak boleh dikaitkan dengan parti komponen BN itu.

‘‘Saya tak tahu latar belakang calon-calon ini tetapi secara dasarnya UMNO dan BN tidak meletakkan calon. Kalau ada pun (bekas ahli Gerakan), ia tidak semestinya dikaitkan dengan Gerakan,” jelasnya.

Najib sekali lagi mengulangi kenyataannya bahawa tindakan BN tidak bertanding dalam pilihan raya kecil itu kerana ia merupakan permainan politik PKR.

‘‘Pilihan raya ini yang sengaja diadakan untuk menyelesaikan masalah dalamannya (PKR) dan ia sebagai satu permainan politik,” katanya.

Mengulas Pilihan Raya Kecil DUN Manek Urai, Najib berkata, pihaknya sedang menunggu senarai nama calon yang dicadangkan oleh BN Kelantan.

Bagaimanapun, jelas beliau, pihaknya belum menentukan sama ada untuk meletakkan calon tempatan atau luar bagi merebut kerusi DUN tersebut.



No comments: