Sunday, May 24, 2009

AJK Umno Tasek Gelugor batal hasrat tanding

AJK Umno Tasek Gelugor batal hasrat tanding


BUKIT MERTAJAM: Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Tasek Gelugor, Datuk Muhammad Mustaffa Idrus, membatalkan hasrat bertanding sebagai calon Bebas pada pilihan raya kecil (DUN) Penanti selepas dinasihatkan pemimpin parti.

"Demi kepentingan parti dan maruah bangsa, saya akur dengan nasihat pemimpin parti," katanya ketika dihubungi, semalam.

Kelmarin, pengarah syarikat berusia 53 tahun itu membuat pengumuman mengejutkan apabila menyuarakan hasrat bertanding atas tiket Bebas dan bersedia menghadapi apa juga tindakan parti sambil menjelaskan keputusannya itu tiada kaitan dengan Umno, sebaliknya atas kemahuan sendiri.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Umno negeri, Datuk Zainal Abidin Osman, berkata parti akan mendapatkan penjelasan daripada Muhammad Mustaffa mengenai hasratnya bertanding sebagai calon Bebas.

"Tidak adil jika kami mencadangkan kepada Majlis Tertinggi (MT) supaya tindakan dikenakan terhadapnya tanpa mendengar penjelasan daripada beliau sendiri," katanya.

Beliau mungkin ada penjelasan lanjut selain daripada apa yang dilaporkan (media)," katanya.

Zainal Abidin berkata, mengikut Perlembagaan Umno, Muhammad Mustaffa boleh dipecat jika bertanding atas tiket Bebas.

No comments: