Sunday, May 24, 2009

'BN tidak atur keputusan hakim'

'BN tidak atur keputusan hakim'
Oleh Anwar Hussin, Mohd Anwar Patho Rohman dan Norliza Wasilan
bminggu@bharian.com.my

Pembangkang perlu lapang dada, terbuka terima Zambry MB sah: Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Umno kesal dengan tindakan parti pembangkang yang terus menuduh kerajaan atau Barisan Nasional (BN) mengatur keputusan Mahkamah Rayuan menentukan siapa Menteri Besar Perak yang sah.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata tuduhan pembangkang itu disifatkan sebagai tidak masuk akal kerana keputusan mahkamah itu bebas daripada sebarang pengaruh dan tidak boleh dirancang mana-mana pihak.

"Memang tidak munasabah. Jika boleh dirancang macam mana kita boleh kalah sebelum ini. Inilah... bila sesuatu keputusan tidak memihak kepada mereka (pembangkang), kita dituduh merancang.

"Sama juga dengan isu membabitkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pengundi hantu. Tetapi tidak pula kedengaran (sebarang rungutan) apabila mereka menang di lima negeri selepas Pilihan Raya Umum 2008 dan pada pilihan raya kecil," katanya ketika dihubungi, semalam.

Ketua Penerangan Umno, Ahmad Maslan, berkata pembangkang perlu bersikap berlapang dada dan terbuka, walaupun keputusan mahkamah tidak menyebelahi mereka.

"Parti pembangkang perlu menghormati keputusan mahkamah. BN sebelum ini boleh menghormati keputusan seorang hakim, mengapa pembangkang tidak boleh hormat keputusan tiga hakim. Prinsip apa yang mereka guna pakai?

"Apabila keputusan berpihak kepada mereka, pembangkang kata mahkamah adil, tetapi jika tidak, BN dituduh merancang. Jika benar-benar junjung prinsip keadilan, maka bersikap berlapang dada dan terbuka menerima keputusan mahkamah itu," katanya.

Kelmarin, Mahkamah Rayuan mengisytiharkan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir kekal sebagai Menteri Besar Perak yang sah selepas memohon mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi 11 Mei lalu, yang mengisytiharkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin pemegang sah jawatan itu.

Sementara itu, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menganggap Umno sebagai parti tidak bermoral dan tidak bertamadun kerana menguasai Perak menerusi apa yang disifatkannya sebagai 'cara yang tidak terhormat.'

Malah, Nik Abdul Aziz menyifatkan Zambry sebagai 'Menteri Besar mahkamah' dan bukannya pemimpin yang mewakili seluruh penduduk Perak.

"Kenapa pembangkang yang dipilih rakyat secara sah melalui undi dirampas oleh Umno dan BN dengan melarikan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) untuk menyokong mereka.

"Tindakan ini langsung tiada peraturan dan saya berasa jika mereka berjaya di Perak, tidak mustahil juga akan melakukan perkara sama di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan. Ia bukan ajaran Islam dan tidak juga demokrasi, hanya nafsu jadi rujukan Umno," katanya selepas merasmikan sambutan Jubli Perak Kepimpinan Ulama di Markaz Tarbiyah Pas Pusat di Taman Melewar di sini, semalam.




Nazri: Jangan tafsir negatif

KUALA KANGSAR 23 Mei - Pakatan pembangkang seharusnya tidak mentafsir keputusan Mahkamah Rayuan semalam sebagai sesuatu yang negatif.

Sebaliknya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, jika timbul perasaan tidak puas hati, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin boleh membawa perkara tersebut ke Mahkamah Persekutuan.

''Ini merupakan keputusan Mahkamah Rayuan. Jika tidak berpuas hati, hak mereka untuk membawa ke Mahkamah Persekutuan kerana ini adalah proses undang-undang, seperti juga Zambry (Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir) yang merayu ke Mahkamah Rayuan sebelum ini," katanya pada majlis penyampaian bantuan kebajikan kepada 72 penerima kawasan Parlimen Padang Rengas di rancangan perumahan Datuk Mior Aris, Lubuk Merbau dekat sini, semalam.

No comments: