Sunday, May 24, 2009

Jangan jadikan perhimpunan PPP – Kayveas

Jangan jadikan perhimpunan PPP – Kayveas

KUALA LUMPUR 23 Mei – Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M. Kayveas memberi amaran supaya perhimpunan bagi menyokong Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator T. Murugiah di Putrajaya esok tidak dikaitkan dengan parti itu.

Beliau berkata, perhimpunan berkenaan tidak mendapat restu Majlis Tertinggi (MT) PPP selain mempunyai kaitan dengan tujuh ahli termasuk Murugiah yang dipecat pada 16 Jun lalu.

“Saya tahu ada khidmat pesanan ringkas (SMS) dan e-mel berlegar selain panggilan telefon meminta ahli-ahli menyertainya dengan memakai baju parti, kalau mereka jadikannya perhimpunan PPP, saya rasa mereka sengaja mencari masalah.

“Ia adalah usaha Murugiah yang menyalahgunakan kedudukannya sebagai timbalan menteri untuk ‘membuat’ kerja ini,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi PPP di sini hari ini.

Sebuah portal berita hari ini melaporkan kira-kira 10,000 penyokong Murugiah akan menghadiri satu perhimpunan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bagi membincangkan masa depan PPP, janji-janji Kayveas yang tidak dipenuhi dan apakah yang boleh ditawarkan Murugiah sebagai pemimpin.

Perhimpunan bermula pukul 10 pagi hingga 2 petang itu akan menampilkan beberapa penceramah, manakala ucapan penggulungan pula akan disampaikan oleh Murugiah sendiri.

Mengulas lanjut, Kayveas mencadangkan Murugiah supaya berdamai dengan PPP dengan membuat rayuan kerana beliau mempunyai tujuh hari lagi untuk berbuat demikian.

Katanya, tindakan sedemikian adalah lebih baik berbanding menganjurkan perhimpunan kerana mana-mana pihak yang telah disingkirkan tidak berhak untuk bercakap mengenai PPP.

“Dia melakukan semakin banyak kesilapan daripada berusaha untuk berdamai, jika dia orang Barisan Nasional (BN), dia kena berusaha ke arah perdamaian,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Kayveas turut mencabar Murugiah melepaskan jawatan timbalan menteri sekiranya beliau berpendapat PPP adalah parti haram kerana didakwa tidak menghantar laporan penyata kewangan kepada Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) sejak 2002.

“Jadi, pelantikannya sebagai timbalan menteri juga tidak sah kerana dia dilantik daripada parti yang haram, jadi dia perlu letak jawatan dulu dan kemudiannya buktikan perkara ini,” tegasnya.

Pada sidang akhbar yang sama, Kayveas mengumumkan PPP bersetuju membentuk pakatan kerjasama dengan Parti Bersatu India Malaysia (MIUP) bagi menjayakan agenda Satu Malaysia.

Katanya, keputusan itu dibuat kerana PPP memberi keutamaan kepada keperluan untuk memiliki sebuah kerajaan yang stabil demi kesejahteraan rakyat dan negara.

No comments: