Sunday, May 24, 2009

Calon Bebas mahu dedah bukti PKR tawar ganjaran

Calon Bebas mahu dedah bukti PKR tawar ganjaran


Aminah nafi ditaja Umno, sedia lapor kepada SPRM

BUKIT MERTAJAM: Calon Bebas, Aminah Abdullah, 56, akan mendedahkan bukti ganjaran ditawarkan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) supaya beliau menarik diri bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti.

Bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang yang menggunakan lambang kunci berkata, beliau tidak menolak kemungkinan akan melaporkan perkara itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Saya akan bongkar dan kemukakan bukti bahawa PKR menawarkan rasuah apabila saya mengumumkan untuk bertanding," katanya sambil menafikan beliau ditaja Umno untuk pilihan raya kecil itu.

Memberitahu pemberita selepas penamaan calon di Pusat Penamaan Calon di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Penanti, dekat sini, semalam, Aminah menjelaskan lambang kunci yang digunakannya melambangkan kunci untuk mendedahkan kepincangan parti Pakatan Rakyat.

Sementara itu, calon Bebas berketurunan Siam, Nai Khan Ari Nai Keow, berkata beliau menggunakan simbol wau bulan yang melambangkan rakyat Malaysia yang tidak akan membezakan bangsa serta agama.

"Saya tetap dengan satu tujuan iaitu berkhidmat kepada rakyat tanpa mengira bangsa," katanya yang memberi fokus kempen dari rumah ke rumah.

Calon Bebas yang bertanding atas tiket Bebas pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang bulan lalu, Kamarul Ramizu Idris, 42, berharap pengundi Penanti memberi peluang kepadanya untuk berbakti.

"Saya mensasarkan akan memperoleh sebanyak 6,200 undi pada pilihan raya nanti. Menang atau kalah bukan masalah, sebaliknya saya berkeyakinan memberi saingan kepada calon lain, termasuk PKR," katanya.

Kamarul Ramizu yang mengekalkan simbol payung seperti percubaan pertamanya berkata, beliau akan memulakan kempen dari rumah ke rumah mulai hari ini selain mengadakan dialog dengan orang ramai.

"Selepas pilihan raya kecil ini, saya akan menumpukan perhatian terhadap proses menubuhkan Parti Iman SeMalaysia," katanya.

Sementara itu, calon PKR, Mansor Othman, 59, berkata beliau yakin menang besar pada pilihan raya kecil itu berdasarkan sokongan penuh parti Pakatan Rakyat.

"Walaupun berapa ramai calon yang bertanding, saya yakin menang. Kita akan menggunakan jentera daripada semua parti Pakatan Rakyat," katanya.

No comments: