Tuesday, August 18, 2009

PKFZ: Polis siasat laporan Tee Keat

PKFZ: Polis siasat laporan Tee Keat

KUALA LUMPUR 17 Ogos – Polis telah memulakan siasatan terhadap dua laporan yang dibuat oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat berhubung isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, laporan pertama melibatkan Presiden MCA itu menerima surat berbaur ugutan, kira-kira dua minggu lalu.

Laporan kedua pula, menurutnya, dibuat pada 13 Ogos lalu berhubung dakwaan Tee Keat menerima wang sebanyak RM10 juta daripada Ketua Eksekutif Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB), Datuk Seri Tiong King Sing.

“Setakat ini polis masih meneliti dan menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kedua-dua laporan itu.

“Kedua-dua kes itu disiasat di bawah Seksyen 507 kerana ugutan jenayah dan 500 Kanun Keseksaan kerana fitnah,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.

Pada 13 Ogos lalu, Tee Keat membuat laporan polis terhadap King Sing atas kenyataan berbaur fitnah bahawa beliau menerima sumbangan RM10 juta untuk aktiviti MCA tahun lalu.

Laporan polis itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras kira-kira pukul 10.30 pagi.

KDSB merupakan pemaju siap guna PKFZ yang kini disiasat oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung skandal tersebut.

Ditanya sama ada polis telah memanggil mana-mana individu untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan, Chin Wah bagaimanapun enggan mengulas lanjut.







Dakwaan Tee Keat terima RM10j mula disiasat


KUALA LUMPUR: Polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah memulakan siasatan berhubung dakwaan Ketua Eksekutif Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB), Datuk Seri Tiong King Sing bahawa Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat menerima 'pinjaman' RM10 juta daripadanya bagi aktiviti berkaitan MCA.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan, berkata siasatan terhadap kes itu dilakukan bersama dengan dakwaan penyelewengan yang didedah-kan pasukan Petugas Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) terhadap KDSB.

"Siasatan sudah bermula dan ia masih berjalan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Ong dan Tiong sebelum ini terbabit dalam perbalahan secara terbuka mengenai isu PKFZ dengan Tiong mendakwa Ong yang juga Presiden MCA, menerima RM10 juta daripadanya selaku pemaju PKFZ.

Ong membalas dakwaan itu dengan membuat laporan polis terhadap Tiong dan menafikan tuduhan berkenaan.

Presiden MCA itu mendakwa tuduhan Tiong ada motif tertentu, termasuk mengalih perhatian daripada dakwaan penyelewengan yang didedahkan pasukan petugas PKFZ terhadap KDSB.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, juga mengesahkan pihaknya sudah memulakan siasatan kes dakwaan Ong terima RM10 juta daripada Tiong berikutan laporan polis dibuat Presiden MCA itu baru-baru ini.

Katanya, polis juga sedang menyiasat surat ugutan diterima Menteri Pengangkutan awal bulan lalu.

"Kita masih menyiasat lanjut kedua-dua kes itu dan sehingga kini belum memanggil mana-mana individu untuk diambil keterangan," katanya enggan mengulas lanjut.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan perhimpunan bulanan peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) di sini, semalam.

No comments: