Tuesday, August 18, 2009

GMP tidak cadang demonstrasi baru

GMP tidak cadang demonstrasi baru

KUALA LUMPUR: Tiada perhimpunan atau demonstrasi jalanan akan dianjurkan mendesak kerajaan memulakan pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada tahun depan, kata Pengerusi Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP), Datuk Dr Hassan Ahmad.

Sebaliknya, beliau berkata, GMP dalam mesyuarat terkini pada Sabtu lalu memutuskan mengemukakan surat cadangan serta mengadakan perjumpaan dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berhubung perkara itu.

Ketika dihubungi semalam, beliau berkata, antara penekanan utama dalam surat cadangan itu ialah meminta kerajaan melaksanakan pemansuhan dasar PPSMI tahun depan bermula dengan murid Tahun Satu.

Selain itu, beliau berkata, GMP juga akan menyarankan supaya pemansuhan dasar PPSMI dilaksanakan secara menyeluruh sehingga meliputi pengajian peringkat universiti.

"Saya sedang menyiapkan surat cadangan itu dan cuba mengemukakannya kepada Timbalan Perdana Menteri dalam minggu ini," katanya.

No comments: