Tuesday, August 18, 2009

Tiada kecenderungan bunuh diri

Teoh tiada masalah psikologi: Dr Khairul

Oleh Norhashimah Mohd Radzali
news@bharian.com.my


SAKSI ke-10 ketika perbicaraan di Mahkamah Koroner, Shah Alam, semalam.

Saksi ke-10 tolak cadangan peguam pemerhati

SHAH ALAM: Teoh Beng Hock dikatakan seorang yang bersikap terbuka, senang berbincang serta tidak mempunyai masalah psikologi sehingga boleh mendorongnya untuk membunuh diri, Mahkamah Koroner di sini, semalam, diberitahu.

Pakar Perunding Kanan Perubatan Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, Dr Khairul Azman Ibrahim, berkata perkara itu dimaklumkan keluarga Teoh sebelum beliau menjalankan bedah siasat terhadap mayat Teoh.

Saksi ke-10 itu berkata, beliau ada menyoal sama ada Teoh mempunyai masalah psikologi, kesihatan dan alkohol, tetapi ahli keluarganya menyatakan si mati tidak menghadapi semua masalah itu.

"Saya menyoal keluarga si mati jika beliau ada berhutang, dalam keadaan tertekan, merokok atau mengambil dadah dan mereka menyatakan mangsa seorang yang terbuka dan suka berbincang. Apabila saya menyoal jika si mati mungkin terjun bangunan atau dibunuh, adik Teoh menafikannya dengan menyatakan tidak mungkin abangnya itu jatuh, " katanya.

Disoal peguam keluarga Teoh, Gobind Singh Deo tujuannya menemuramah keluarga Teoh mengenai latar belakang si mati, Dr Khairul Azman berkata, beliau ingin tahu sama ada Teoh cenderung untuk membunuh diri.

Katanya, beliau diberitahu oleh abang si mati, Teoh sepatutnya mendaftar perkahwinannya sehari selepas beliau ditemui mati dan hanya mengetahui tunang Teoh hamil dua bulan selepas membacanya di akhbar.

Dr Khairul berkata, selain keluarga Teoh, beliau turut mendapatkan gambaran dan latar belakang mengenai kejadian itu daripada Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Ahmad Nazri Zainal.

Menjawab soalan Gobind, Dr Khairul Azman berkata, walaupun tidak menemubual pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), beliau menyiasat tempat kejadian dan menemu bual keluarga Teoh, selain bergantung kepada hasil bedah siasat, laporan DNA serta toksikologi sebelum membuat kesimpulan tiada unsur pembunuhan dalam kes itu.

Terdahulu Dr Khairul Azman menolak cadangan peguam pemerhati Majlis Peguam Malaysia, Rajpal Singh kesan luka pada perut mangsa mungkin disebabkan oleh tekanan pada tali pinggang Teoh ketika ditarik oleh seseorang dari belakang.

"Jika ada orang pegang tali pinggang dari belakang, dengan tekanan yang kuat, sudah tentu tali pinggang itu akan terputus dan tidak berada pada badan si mati ketika dijumpai," katanya.

Gobind kemudian menambah teori Rajpal dengan mencadangkan: "Adakah kemungkinan Teoh dipegang pada bahagian seluarnya?"

Dr Khairul Azman menjawab: "Saya tak rasa begitu kerana tidak ada tanda pergelutan yang kuat dan cara mangsa jatuh menunjukkan beliau terlantun jauh sedikit dan bukan jatuh terus ke bawah."

Prosiding di depan Koroner Azmil Muntapha Abas bersambung hari ini.



Tiada kecenderungan bunuh diri

SHAH ALAM 17 Ogos - Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock yang ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam di sini pada 16 Julai lalu tidak mempunyai sebarang masalah psikologi serta kecenderungan untuk membunuh diri.

Pakar Perunding Kanan Perubatan Forensik dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, Dr. Khairul Azman Ibrahim merumuskan demikian berdasarkan maklumat-maklumat tentang latar belakang Beng Hock yang diperoleh daripada ahli keluarga serta tunangnya.

''Saya bertanyakan kepada ahli keluarga mangsa sama ada mangsa mempunyai masalah psikologi, kesihatan atau alkohol dan mereka menjawab tidak. Saya juga bertanya sama ada si mati berhutang atau dalam keadaan tertekan dan mereka menyatakan bahawa mangsa ialah seorang yang terbuka.

''Pada pendapat saya, dia seorang yang berintegriti. Kemungkinan kalau dia buat silap, dia akan malu. Berdasarkan latar belakang itu, saya setuju dia tiada kecenderungan membunuh diri,'' katanya menjawab soalan peguam Gobind Singh Deo.

Menurut Khairul, adik Beng Hock, Teoh Lee Lan terus menjawab 'tidak mungkin' apabila beliau menyebut perkataan jatuh selain tidak berpuas hati dengan cara kematian abangnya.

Begitu juga abang Beng Hock, Teoh Meng Kee dan tunangnya, Soh Cher Wei.

Katanya, beliau mengetahui Beng Hock akan mendaftarkan perkahwinan pada keesokan hari melalui Meng Kee sementara kehamilan Cher Wei pula hanya diketahui melalui media.

''Tunang mangsa lebih banyak diam tetapi nampak daripada raut wajahnya, dia pun nak tahu macam mana mangsa jatuh.

''Saya beritahu mereka saya akan bantu, sekiranya apa-apa yang disyaki, saya tidak teragak-agak untuk mengatakan ia adalah kes bunuh,'' tegas beliau.

Ditanya tentang pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terbabit menyoal siasat Beng Hock, beliau mengaku tidak menemubual mereka dengan alasan ia adalah tugas pihak polis.

Sebaliknya, beliau hanya bertanya pegawai penyiasat polis dan dimaklumkan bahawa Beng Hock duduk di sofa berhampiran bilik pegawai perakam selepas selesai soal siasat antara pukul 3 dan 3.30 pagi, 16 Julai lalu.

Beliau turut diberitahu bahawa Beng Hock ada meminta minuman antara pukul 5 dan 5.30 pagi serta dilihat mundar-mandir dalam bilik tersebut.

''Saya berpendapat adalah memadai saya dapat tahu daripada pegawai penyiasat. Saya pun terfikir-fikir juga kenapa selepas dilepaskan dia tidak balik ke rumah. Pada pendapat saya, itu kerja polis, biarlah,'' jelas beliau.

Berikutan itu, Gobind mencadangkan bahawa kegagalan Khairul menyoal pegawai-pegawai SPRM menyebabkan beliau tidak mempunyai bukti material untuk menolak kemungkinan Beng Hock dibunuh.

Khairul bagaimanapun menjelaskan beliau tidak menjumpai bukti untuk menyokong berlakunya pembunuhan walau ada kemungkinan tersebut.

Selepas diasak berkali-kali dengan soalan yang sama serta dicadangkan dengan teori-teori Beng Hock dibunuh, pakar patologi forensik itu akhirnya menjawab: '' Terserah, tiada komen''.

Pada prosiding hari ini, Gobind turut menyoal sama ada saksi inkues ke-10 itu pernah mengendalikan kes-kes membabitkan mangsa yang mati didera semasa berada dalam tahanan polis dan membangkitkan kes bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didera sehingga lebam mata.

Isu tersebut menyebabkan peguam yang dilantik oleh kerajaan Malaysia, Tan Hock Chuan bangun membantah kerana mangsa tidak ditahan oleh polis, sebaliknya hanya disoal siasat oleh SPRM sehingga berlaku pertikaman lidah serta saling berbalas hujah.

Koroner Azmil Muntapha Abas kemudiannya memerintahkan hanya soalan berkaitan SPRM sahaja yang dikemukakan kepada saksi.

No comments: