Tuesday, August 18, 2009

Pertandingan satu lawan satu di Permatang Pasir

Pertandingan satu lawan satu di Permatang Pasir

Oleh Fazli Abdullah, Anwar Hussin, Mohd Anwar Patho Rohman, Norakmah Mat Youb dan Amin Ridzuan Ishak
bhnews@bharian.com.my


MUHYIDDIN bersama Ahmad Zahid mengangkat tangan Rohaizat (tengah) selepas pengumuman calon bertanding di Pusat Penamaan calon pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir di IKBN, Bukit Mertajam, semalam.

Calon Bebas gagal serah borang pencalonan pada masa ditetapkan

BUKIT MERTAJAM: Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir (N11) pada 25 Ogos ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu, membabitkan calon Barisan Nasional (BN) dan Pas.

Calon BN, Rohaizat Othman, 38, akan ditentang calon Pas, Mohd Salleh Man, 52.

Kamarul Ramizu Idris, yang mahu bertanding atas tiket Bebas, bagaimanapun gagal menyerahkan borang pencalonan, walaupun beliau sempat memasuki pusat pencalonan pada saat akhir proses mengemukakan borang ditutup.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil Permatang Pasir, Roslan Yahaya, mengumumkan senarai calon yang layak bertanding pada jam 11.25 pagi di Pusat Penamaan Calon di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Berapit di sini, semalam.

"Kami menerima 15 bantahan ke atas kedua-dua calon itu selepas tempoh bantahan ditutup, tetapi tiada calon ditolak pencalonannya," katanya.

Rohaizat, yang juga Setiausaha Umno bahagian Permatang Pauh dan ahli perniagaan, adalah lepasan undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Mohd Salleh pula yang bekerja sendiri dan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, adalah lepasan pengajian Islam dari Universiti Malaya (UM).

Ini adalah kali pertama Rohaizat bertanding pada pilihan raya, manakala Mohd Salleh adalah kali ketujuh. Setakat ini, Mohd Salleh belum pernah menang dalam pilihan raya.

Proses penamaan calon yang dihadiri kira-kira 6,000 penyokong dari kedua-dua parti bertanding berlangsung dalam suasana tenang dengan penyokong mula berkumpul seawal jam 6 pagi.

Bagaimanapun, tindakan Ahli Parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan, yang didakwa cuba mencetuskan provokasi di depan penyokong Pas, sehingga beliau ditahan, mencemari proses penamaan calon.

Penyokong BN berkumpul dari arah Bukit Mertajam manakala penyokong Pas berkumpul dari arah Penanti sebelum masing-masing berarak ke pusat penamaan calon yang terletak kira-kira satu kilometer dari tempat mereka berkumpul.

Polis meletakkan kon bagi memisahkan penyokong kedua-dua parti bertanding pada jarak 100 meter untuk mengelak perbuatan provokasi dan kejadian tidak diingini.

Penyokong BN yang berarak kira-kira jam 8.30 pagi diketuai Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, memasuki pekarangan institut itu pada jam 8.45 pagi sebelum berehat di khemah yang disediakan.

Rohaizat menyerahkan borang pencalonan pada jam 9.03 pagi.

Turut berarak ialah ketiga-tiga Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Mohd Shafie Apdal; Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil; Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan Ketua Puteri Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

No comments: