Tuesday, August 18, 2009

Keterangan kakitangan 2 Exco diambil

Keterangan pembantu 2 Exco diambil

Oleh Tuan Nazuri Tuan Ismail
nazuri@bharian.com.my


MOHAMED (kiri) bersama Yong di Pejabat Exco di Shah Alam, semalam.

Polis siasat dakwaan pejabat diguna mesyuarat dengan kongsi gelap

SHAH ALAM: Polis mengambil keterangan daripada dua pembantu tadbir kepada dua Exco Selangor semalam bagi membantu siasatan berhubung dakwaan Ahli Parlimen Wangsa Waju, Wee Choo Keong dalam blognya yang mendakwa pejabat Exco diguna untuk mengadakan mesyuarat dengan kumpulan kongsi gelap.

Pegawai Turus Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Superintendan Mohamed Osman, mengambil keterangan kira-kira sejam bermula 1.30 petang daripada Norazah Ismail, pembantu tadbir kepada Exco negeri, Ean Yong Hian Wah.

Pegawai Siasatan Unit Siber Multimedia Bukit Aman, Inspektor Azizi Abdul Halim pula, mengambil keterangan pembantu tadbir kepada Ronnie Liu, Siti Fairous Shohaime sehingga jam 3.30 petang.

Kedua-dua wanita itu memberi keterangan sebagai saksi berhubung dakwaan dibuat Wee melalui blognya weechookeong.blogspot.com serta dilaporkan media.

Polis bagaimanapun tidak mengambil keterangan Yong selaku Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram negeri manakala Liu pula berada di Permatang Pasir bagi mengikuti proses penamaan calon.

Siasatan itu dibuat mengikut Seksyen 211 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Pada sidang media selepas itu, Yong berkata, siasatan berkenaan bagi membantu laporan polis yang mendakwa pejabat Exco diguna untuk berbincang mengenai aktiviti haram.

Katanya, beliau diberitahu bahawa laporan polis itu tidak menyebut nama Exco secara khusus dan polis akan ke pejabat semua Exco untuk membuat siasatan lanjut.

"Mereka (polis) mengambil keterangan pembantu tadbir saya dan akan bertemu dengan saya jika perlu selepas ini," katanya.

Wee pada 16 Julai lalu dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Selangor untuk memberi keterangan berhubung dakwaan itu di samping menyerahkan bukti yang beliau dakwa cukup untuk membantu polis menjalankan siasatan.

Wee dilaporkan berkata, beliau juga sudah memaklumkan kepada polis nama individu yang dikatakan menggunakan pejabat Exco untuk mengadakan mesyuarat dan perbincangan dengan ahli kongsi gelap.





Keterangan kakitangan 2 Exco diambil

Oleh AZIAN AZIZ
pengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 17 Ogos - Polis hari ini mengambil keterangan dua kakitangan Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah dan Ronnie Liu bagi membantu siasatan laporan polis yang mendakwa pejabat Exco yang digunakan ahli kongsi gelap untuk berbincang mengenai aktiviti haram.

Laporan polis itu dibuat berdasarkan maklumat dari laman blog Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong, http://weechookeong. blogspot.com., dan laporan media baru-baru ini.

Dua pegawai polis dari Bukit Aman itu ialah Pegawai Turus Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Supritendan Mohamed Osman dan pegawai Unit Siber Multimedia, Inspektor Azizi Halim.

Mereka datang ke pejabat kedua-dua Exco berkenaan yang terletak bersebelahan di tingkat 15, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini kira-kira pukul 12.30 tengah hari untuk mengambil keterangan tersebut.

Kakitangan Hian Wah yang berjawatan pembantu tadbir iaitu Norazah Ismail diambil keterangan selama kira-kira satu jam bermula pukul 1.30 petang sebelum menemui kerani Ronnie, Siti Fairous Shohaime bagi tujuan yang sama.

Antara soalan yang ditanya ialah prosedur untuk orang awam menemui setiap Exco Selangor dan sama ada terdapat rekod keluar masuk individu yang masuk ke pejabat Exco.

Semasa keterangan Norazah diambil, Hian Wah turut menemani kakitangannya itu. Siti Fairous pula ditemani pembantu Exco kerana Ronnie kini berada di Pulau Pinang menghadiri hari penamaan calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir.

Selepas keterangan Siti Fairous selesai diambil iaitu kira-kira pukul 4 petang, kedua-dua pegawai berkenaan pulang dengan membawa bersama buku kedatangan pelawat dari pejabat Ronnie.

Sementara itu, Hian Wah ketika ditemui pemberita memberitahu, beliau dimaklumkan kedatangan pegawai polis berkenaan bagi menyiasat laporan polis yang dibuat mengenai dakwaan ada pejabat Exco digunakan ahli kongsi gelap untuk mengadakan perbincangan aktiviti haram.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram negeri itu berkata, pegawai polis berkenaan enggan menamakan individu yang membuat laporan polis berkenaan.

Sebaliknya, kata Hian Wah, pegawai polis itu hanya memaklumkan laporan tersebut tidak menyatakan nama Exco tertentu yang dikatakan ada kaitan dengan ahli kongsi gelap.

"Polis hari ini hanya mengambil keterangan pembantu tadbir saya sahaja. Mereka akan bertemu dengan saya pada masa lain sekiranya perlu.

"Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 211 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan kami akan meneruskan kerjasama dengan polis supaya mereka dapat jalankan tugas," katanya.

Pada 17 Julai lalu, polis memaklumkan telah memulakan siasatan terhadap dakwaan pejabat seorang Exco Selangor digunakan sebagai tempat mengadakan mesyuarat bagi kegiatan haram.

Dakwaan itu dibuat oleh Choo Keong dalam blognya menyatakan ada Exco Selangor terlibat dalam aktiviti 'gelap' dan pejabat Exco tersebut digunakan untuk mengadakan pertemuan dengan individu yang mempunyai kaitan dengan aktiviti berkenaan.

Bagaimanapun, pada 13 Ogos lalu polis memaklumkan dakwaan yang dibuat Choo Keong itu hanya berdasarkan cakap-cakap orang.



No comments: