Tuesday, August 18, 2009

Pekeliling tegah beri keterangan tak sah

Pekeliling tegah beri keterangan tak sah

Oleh Azrina Ahzan

Arahan Kerajaan Selangor larang pegawai temui SPRM di luar waktu pejabat salah: Gani

PUTRAJAYA: Pekeliling Kerajaan Negeri Selangor Bilangan 4 Tahun 2009 melarang pegawainya memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas waktu pejabat atau di luar pejabat mereka adalah tidak sah dan terbatal, kata Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

"Kita akan memfailkan permohonan di mahkamah untuk mengisytiharkan arahan itu sebagai tidak sah dan terbatal. Dari segi undang-undang, perkara ini salah.

"Saya akan memfailkan permohonan itu dalam minggu ini," katanya pada sidang media bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Datuk Seri Nazri Aziz selepas perasmian mesyuarat tahunan ke-48 Pertubuhan Perundingan Perundangan Asia-Afrika (AALCO) di sini, semalam.

Abdul Gani berkata, permohonan perlu dibuat selepas mendapati pekeliling itu bercanggah dengan undang-undang kerana SPRM menjalankan tugasnya mengikut Akta SPRM 2009.

"Jika pekeliling itu bercanggah dengan undang-undang ia bukanlah satu peraturan, kerana SPRM menjalankan tugas mengikut peruntukan undang-undang, jadi pekeliling itu adalah arahan pentadbiran semata-mata," katanya.

Mohamed Nazri pula berkata tindakan kerajaan Selangor boleh ditafsir sebagai cubaan menghalang pegawai SPRM menjalankan tugas.

"Tiada pekeliling oleh mana-mana kerajaan negeri boleh menghalang SPRM menjalankan siasatan mereka. Saya rasa ini satu cubaan Khalid (Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) untuk menghalang pegawai SPRM melaksanakan tugas mereka," katanya.

Mereka berkata demikian ketika mengulas keengganan pembantu kepada seorang Exco kerajaan negeri Selangor, Wong Chuan How mengikut pegawai SPRM ke ibu pejabatnya di Putrajaya kerana mendakwa beliau terikat dengan pekeliling kerajaan negeri itu.

Wong ditahan di pusat khidmat wakil rakyat Adun Sungai Pelek di Sepang, Jumaat lalu, bagi membantu siasatan berhubung salah guna peruntukan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor membabitkan projek bernilai hampir RM500,000.

Dalam pada itu, Nazri meminta SPRM menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab dan mengetepikan ugutan daripada mana-mana pihak termasuk pembangkang.

"Saya tidak boleh bayangkan reaksi pembangkang jika Perdana Menteri mengeluarkan pekeliling seperti itu.

"Pada satu masa mereka mempertikaikan SPRM dan menuduh ia dikuasai kerajaan Pusat tetapi apabila SPRM menyiasat mereka... mereka cuba menakut-nakutkan pegawai itu.

"Berapa ramai Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) sudah disiasat tetapi kita tidak campur tangan kerana kita menghormati SPRM," katanya.

Mohamed Nazri juga menolak dakwaan bahawa SPRM mensasarkan pemimpin bukan Melayu.

"Anda tahu tak berapa ramai ahli Umno yang disiasat? Kenapa jadikan ini sebagai isu perkauman? Kenapa bila ahli Umno disiasat tiada siapa yang cakap apa-apa?

"SPRM adalah badan bebas dan akan mengambil tindakan tanpa mengira bangsa, takut atau pilih kasih," katanya.

No comments: