Tuesday, August 18, 2009

Taktik murahan Gobalakrishnan cetus kekecohan

Gobalakrishnan buat kecoh, biadab kena tahan


GOBALAKRISHNAN bertindak kasar terhadap polis selepas membuat kecoh di pekarangan IKBN Bukit Mertajam, semalam.

BUKIT MERTAJAM: Polis menahan Ahli Parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan kerana mencetuskan kekecohan di pusat penamaan calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, semalam.

Gobalakrishnan ditahan selepas mencetuskan kekecohan apabila mengingkari arahan polis tidak menggunakan alat pembesar suara untuk melaungkan kata-kata berunsur provokasi.

Beliau juga dilihat meronta-ronta melepaskan diri apabila ditahan polis sehingga mengalami kecederaan di tangan dan tali pinggangnya tertanggal, menyebabkan seluarnya separuh terlondeh.

Ketua Polis Negeri, Datuk Ayub Yaakub, berkata kejadian jam 11.30 pagi itu Ahli Majlis Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) terbabit mengingkari arahan polis supaya tidak menggunakan alat pembesar suara.

"Kami sudah memberi amaran sebanyak dua kali kepadanya, tetapi tidak dihiraukan sehingga memaksa polis menahannya. Bagaimanapun, ketika ditahan beliau cuba menimbulkan kekecohan sehingga beliau dan seorang anggota polis cedera," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Difahamkan sebelum itu, Gobalakrishan dikatakan memaki polis dan cuba mengeluarkan kenyataan berunsur provokasi menggunakan pembesar suara sehingga menimbulkan kekecohan di kalangan penyokong.

Kekecohan itu menyebabkan kira-kira 50 penyokong pembangkang bertindak agresif dan cuba merempuh kawalan polis di pusat penamaan calon itu. Bagaimanapun, ia dapat dikawal polis.

Sementara itu, di KUALA LUMPUR, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menempelak tindakan Gobalakrishnan yang cuba menjadi jaguh apabila sengaja menimbulkan suasana tidak aman pada hari penamaan calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, semalam.

Beliau berkata, Ahli Parlimen Padang Serai itu yang cuba memprovokasi kumpulan penyokong pembangkang disifatkan sebagai tidak senonoh, memalukan Ahli Parlimen, tidak menghormati undang-undang dan tindakan bodoh kerana mencemarkan hari pertama kempen.

Sehubungan itu, beliau menyerahkan kepada polis untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap Gobalakrishnan.





Taktik murahan Gobalakrishnan cetus kekecohan

BUKIT MERTAJAM 17 Ogos - Suasana di luar pusat penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN), Permatang Pasir di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di sini tercemar akibat 'publisiti murahan' yang cuba diraih pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), N. Gobalakrishnan.

Ahli Parlimen Padang Serai itu melaung-laungkan kata-kata provokasi mencetuskan kemarahan para penyokong pihak pembangkang yang sebelum itu terkawal sehingga menimbulkan suasana kecoh.

Menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Wira Ayub Yaakob, proses mengawal para penyokong kedua-dua pihak yang berkumpul seawal 7 pagi berjalan lancar sehinggalah Gobalakrishnan menghampiri kumpulan penyokong pembangkang dan membuat kecoh dengan menggunakan alat pembesar suara.

"Pihak polis awal-awal lagi sudah mengeluarkan arahan kepada orang ramai agar tidak membuat sebarang kekecohan, lebih-lebih lagi menggunakan alat pembesar suara.

"Beliau telah diberikan amaran sebelum itu lagi supaya berhenti berbuat demikian namun beliau degil dan akhirnya pihak polis terpaksa membawanya keluar daripada kawasan khas penyokong pembangkang kerana masih meneruskan 'misi solonya' itu.

"Berlaku sedikit kucar-kacir apabila Gobalakrishnan meronta-ronta dan tidak mahu memberi kerjasama maka kita terpaksa menahannya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, beberapa minit sebelum pengumuman calon dibuat, orang ramai di kawasan IKBN itu gempar apabila berlaku kekecohan di kawasan para penyokong pembangkang berkumpul.

Gobalakrishnan yang berbaju biru muda tertera perkataan 'Parlimen Padang Serai' meronta-ronta sambil berbaring ketika beberapa orang anggota polis cuba membawanya keluar daripada kawasan para penyokong pembangkang.

Dalam kekalutan tersebut, kelihatan seluar Gobalakrishnan terlondeh hingga ke bawah paras peha sehingga menarik perhatian petugas-petugas media untuk merakamkan 'aksi' itu.

Namun atas dasar perikemanusian, pihak polis melindunginya dalam bentuk bulatan untuk memberi peluang kepada beliau menyarung semula seluar yang terlondeh itu.

Beliau kemudiannya dipapah masuk ke dalam ambulans oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Supritendan Mohan Singh Tara Singh kira-kira pukul 11.30 pagi.

Insiden hari ini bukanlah perkara baru.

Gobalakrishnan juga pernah membuat kecoh pada Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh tahun lalu. Beliau bersama tiga penyokong PKR ditahan polis bagi membantu siasatan kerana disyaki menahan empat bas persiaran yang didakwa membawa 'pengundi hantu' di Lebuh Raya Butterworth-Kulim (BKE).

Sementara itu, Ayub melahirkan rasa kesalnya terhadap kejadian tersebut.

"Pemimpin ini saya rasa hanya mahukan publisiti murahan kerana sebelum ini pada Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh, beliau turut buat kacau sehingga ditahan di lokap selama satu malam," katanya.

No comments: